Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bukan sahaja dirasai keluarga dan rakyat Malaysia, malah meninggalkan kesan mendalam buat mereka yang pernah rapat dengan Allahyarhamah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut berkongsi pertemuan terakhir Allahyarhamah bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis pada Isnin lalu.
Menurut Zahid, isterinya ketika itu berkesempatan menziarahi Tun Hasmah di kediamannya dan mereka menghabiskan masa dengan mengimbas kembali kenangan lama ketika sama-sama menganggotai Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
“Diceritakan oleh isteri saya, beliau (Dr Siti Hasmah) banyak bercerita tentang tuhan. Beliau banyak bercerita tentang alam baqa. Beliau banyak bercerita tentang Padang Mahsyar, seolah-olah beliau telah mengetahui yang beliau akan pergi buat selama-lamanya,” ujarnya.

Artikel berkaitan: Menelusuri Perjalanan Hidup Tun Dr Siti Hasmah, Pelopor Doktor Wanita & Tokoh Kesihatan Awam
Artikel berkaitan: “Tun M pun pakai oksigen” – Netizen Sebak Lihat Air Muka Tun Mahathir Semasa Meninggalkan IJN
Zahid berkata, pertemuan mereka berlangsung panjang apabila kedua-duanya kembali mengenang kisah-kisah lama sepanjang bersama dalam Bakti.
“Mereka berbincang panjang, sebagai anggota Bakti mereka bernostalgia. Dan kami sekeluarga juga kehilangan Allahyarham Tun Dr. Hasmah dan kami berdoa agar keluarga beliau kuat dan beliau ditempatkan di sisi hamba-hamba yang beriman, insya-Allah,” katanya.
Zahid turut mengakui pemergian Tun Hasmah merupakan satu kehilangan besar buat negara.
Menurutnya, Allahyarhamah telah memainkan peranan besar sepanjang bergelar Wanita Pertama Malaysia selama 22 tahun, selain banyak menabur jasa khususnya dalam kalangan wanita dan ahli-ahli Bakti.
Sumber: Kosmo!
