in

“Ada yang lebih 2 kali, ada yang hampir setiap hari” – 21,000 Ziarah Pusara Tun Hasmah Sepanjang 13 Hari Pertama

Ft Kubur Tun Hasmah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali dilihat meninggalkan kesan mendalam  apabila kira-kira 21,000 orang dilaporkan mengunjungi pusara beliau dalam tempoh 13 hari selepas pengebumian.

Lebih menyentuh hati lagi, ada pengunjung yang sanggup merentas negeri, malah datang hampir setiap hari semata-mata untuk membaca surah al-Fatihah dan mendoakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.


Artikel berkaitan : “Cinta agung 70-tahun” – Media Arab Saudi Turut Laporkan Pemergian Tun Hasmah

Artikel berkaitan : “Raut wajah Tun jelas kelihatan sugul” – Dr Zulkifli Sempat Tunaikan Solat Jenazah Ghaib Buat Tun Hasmah Di Masjid Nabawi

Penyelia Unit Perkuburan Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohd Ferdaus Bahili berkata, kehadiran pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama menjadi antara perkara paling ketara sepanjang tempoh beliau dan pasukannya menguruskan kawasan pusara Allahyarhamah di Pusara Negara, Taman Selatan, Presint 20.

Menurutnya, orang ramai mula hadir seawal pukul 6.45 pagi hingga 10 malam pada hari-hari awal selepas pengebumian.

Screenshot 2026 10 01 111521

Kira-kira 3,000 orang mengunjungi pusara pada hari pertama, diikuti sekitar 2,700 orang sehari sepanjang enam hari berikutnya. Jumlah itu kemudian menurun kepada anggaran 500 orang sehari sehingga hari ke-13.

“Jumlah itu kemudian berkurangan kepada anggaran 500 orang sehari sehingga hari ke-13, menjadikan keseluruhan kunjungan dianggarkan mencecah 21,000 orang.”

Berkongsi lanjut, Mohd Ferdaus berkata, pengunjung bukan sahaja datang dari sekitar Lembah Klang, malah ada yang tiba dari utara, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Bahkan, ada juga individu dari luar negara termasuk Jepun dan kawasan tanah Arab yang datang khusus untuk menziarahi pusara Allahyarhamah.

“Berdasarkan pemerhatian kami, ada pengunjung yang datang lebih daripada dua kali, malah ada yang hampir setiap hari sejak hari pengebumian.”

“Kebanyakannya penduduk Putrajaya, khususnya wanita, yang datang untuk membaca al-Fatihah dan mendoakan Allahyarham sebagai tanda kasih serta penghargaan,” katanya.

Menurut Mohd Ferdaus, ada pengunjung yang tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata ketika berdoa di sisi pusara, terutama apabila Tun Dr. Mahathir turut hadir menziarahi isterinya.

Screenshot 2026 10 12 154233

Beliau yang sudah 18 tahun berkhidmat dengan PPj menyifatkan sambutan luar biasa itu sebagai pengalaman yang jarang ditemuinya sepanjang tempoh perkhidmatan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Mohd Ali Jusoh berkata, pihaknya menyelaras pergerakan pengunjung, lalu lintas, parkir, laluan keluar masuk serta aspek keselamatan bagi memastikan urusan ziarah berjalan lancar.

Pusara Allahyarhamah dibuka kepada orang ramai setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. Enam kakitangan Unit Perkuburan PPj turut menjalankan kerja pembersihan dan pengemasan secara berkala sekitar pukul 7 pagi dan 9 malam.

“Pihak PPj melaksanakan penyelarasan operasi secara khusus mengikut keperluan dan situasi semasa apabila sesuatu pusara menerima kunjungan orang ramai secara luar biasa, khususnya melibatkan tokoh negara.

“Selain itu, aspek kebersihan dan penyelenggaraan kawasan perkuburan turut diberi perhatian bagi memastikan urusan ziarah berjalan lancar, teratur dan selamat. Rondaan keselamatan turut dijalankan bagi memastikan kawasan pusara kekal bersih, terpelihara dan terkawal,” katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Tun Dr. Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun.

Jenazah beliau kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 mengikut taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.