“Panggil saya ‘sayang’” – Isteri Hiba Suami ‘Pergi’ Lepas 6 Hari Nikah Akibat Kemalangan

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Belum pun sempat puas mengecapi manisnya alam perkahwinan, seorang wanita terpaksa menerima hakikat apabila suami tercinta pergi menghadap Ilahi selepas hanya enam hari bergelar suami isteri.
Menerusi perkongsian menyayat hati itu, Nur Nasywani Mohd Romzi, 25, memaklumkan suaminya, Muhammad Firdaus Norasmahisham, 28, maut selepas terlibat dalam satu kemalangan pada awal pagi 15 November lalu.
Keluar cari makanan pada jam 3 pagi

Difahamkan, pasangan ini bertolak dari kediaman mereka di Taman Medan menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan pada 14 November dan tiba di sana sekitar jam 10 malam.
Setibanya di destinasi, arwah suami sempat mengajak Nur Nasywani yang bekerja sebagai pembantu klinik untuk ke tapak acara bersama rakan, namun dia menolak kerana terlalu letih dan mahu berehat di inap desa.
Arwah kemudiannya keluar sekitar jam 12 tengah malam untuk mencari alat ganti motosikal sebelum pulang semula ke penginapan mereka. Namun, pada kira-kira jam 3 pagi, suaminya keluar sekali lagi bersama anak kepada rakannya untuk mencari makanan.
“Tak lama kemudian, saya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan bahawa suami terbabit kemalangan,” katanya.
Sempat dengar orang ramai ajar suami mengucap
Tanpa berlengah, Nur Nasywani terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengejutkan itu. Namun, sebaik tiba, suaminya sudah tidak memberikan sebarang respons ketika dipanggil dan cuba dikejutkan.
“Lebih menyayat hati, saya dapat mendengar orang di tempat kejadian membantu suami mengucapkan kalimah syahadah.”
“Saya masih berharap arwah akan membuka mata dan bangun, tetapi ambulans tiba dan mengesahkan bahawa arwah sudah meninggal dunia di tempat kejadian.”
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Beberapa jam sebelumnya, lelaki yang baru enam hari menjadi suami saya masih ada di sisi, memanggil saya ‘sayang’. Kini, dia pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” luahnya sebak.
Bernikah pada tarikh ulang tahun kelahiran arwah

Menurut wanita berasal dari Tumpat, Kelantan ini, dia sama sekali tidak menyangka percutian ke Port Dickson itu menjadi memori terakhir mereka berdua sedangkan masih banyak perancangan rumah tangga yang belum sempat direalisasikan.
Mengimbas kembali detik perkenalan, pasangan ini berkawan selama tiga bulan sebelum menyulam cinta dan mengikat tali pertunangan pada 23 Mac lalu. Dengan restu keluarga kedua-dua belah pihak, mereka akhirnya disatukan pada 9 November lalu.
Lebih meruntun jiwa, tarikh pernikahan itu sebenarnya dipilih bersempena dengan hari lahir arwah suaminya sendiri agar detik tersebut menjadi kenangan paling bermakna buat mereka.
“Pada hari perkahwinan, saya berasa seperti menjadi wanita paling bahagia dalam hidup kerana hari yang dinantikan akhirnya tiba dan insan tersayang sah bergelar suami.”
“Majlis kenduri kami sangat meriah dengan kehadiran saudara-mara dan rakan. Saya masih ingat suasana pada hari itu penuh dengan kegembiraan, senyuman dan doa daripada orang sekeliling.”
“Tak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa tarikh yang sepatutnya menjadi detik paling bahagia dalam hidup kami akhirnya menjadi kenangan yang akan saya rindui sepanjang hayat,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



