Bak kata bait lagu Seindah Biasa, panas terik hujan badai kita lalui bersama…
Itulah yang berlaku pada Sabtu lepas, apabila Biduanita Negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza mengadakan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, di mana acara itu sedikit terganggu dengan suasana hujan membasahi stadium ketika acara berlangsung.

Namun hujan badai itu tidak langsung menggugat semangat dan rasa teruja 63,000 orang peminat yang ingin terus menonton konsert berkenaan hingga ke akhirnya.
Malah sehingga saat ini, masih ramai lagi di kalangan netizen membicarakan mengenai betapa unik dan menariknya konsert berkenaan yang juga menyaksikan penyatuan dua penyanyi hebat selepas 28 tahun tidak sepentas.
Bagi yang terlepas ke konsert ini, berikut kami senaraikan lima momen ‘rare’ yang berlaku sepanjang berlangsungnya Konsert Gema Bumantara pada 17 Oktober lepas.
Artikel berkaitan: “Mungkin ini persembahan terakhir bersama saya” – Siti Nurhaliza Kongsi ‘Bisikan’ Tun Hasmah Kepadanya
Artikel berkaitan: Siti Nurhaliza Buat Kejutan! Jemput Noraniza Idris Sebagai Penyanyi Undangan Di Konsert Gema Bumantara
1. Siti Nurhaliza bersilat di persembahan pembukaan
Meskipun sedikit terganggu dengan hujan yang turun tiba-tiba, persembahan pembukaan konsert berjaya menarik perhatian ramai apabila Dato’ Seri Siti Nurhaliza tampil dengan aksi silat penuh tenaga sebelum mendendangkan lagu Mahligai Permata.

2. PMX pakai poncho, sanggup berhujan tonton konsert
Antara momen rare yang menarik perhatian semasa konsert itu berlangsung ialah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang sanggup berhujan bersama 63,000 peminat demi menonton konsert itu hingga ke akhir acara.
Beliau dilihat duduk bersama suami kepada Dato’ Seri Siti, Datuk Seri Khalid sambil memakai poncho berwarna biru.

3. ‘Abbas’ kayuh beca bawa Siti Nurhaliza?
Pelakon Zarif Ghazi yang kini terkenal dengan watak Abbas dalam siri Kudrat 1968 tampil membuat kejutan apabila dia dilihat mengayuh beca membawa Biduanita Negara bagi menjayakan segmen istimewa dalam lagu Kurik Kundi.
Penampilannya meraih sorakan kuat penonton yang rata-rata teruja melihat Zarif yang tiba-tiba muncul di konsert berkenaan.

4. Siti Nurhaliza menangis ketika menyanyi lagu Pesanan Buat Diri, ‘tribute’ kepada Tun Hasmah
Selain momen tawa dan girang di dalam konsert tersebut, penyanyi nombor satu negara ini juga dilihat menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu Pesanan Buat Diri ciptaan Aubrey Suwito dan Datuk Habsah Hassan.
Lagu itu tersebut dinyanyikan sebagai tribute kepada Allahyarhamah Tun Hasmah Mohd Ali yang baru meninggalkan kita beberapa minggu lalu.

5. Siti Nurhaliza betulkan tudung Noraniza Idris di atas pentas
Detik manis juga tercipta apabila Siti Nurhaliza dilihat secara spontan membetulkan tudung Noraniza Idris sebelum mereka memulakan persembahan.
Noraniza dalam satu kenyataannya telah mengenang semula kali terakhir dia dan Siti membuat persembahan bersama sempena penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998 di Kuala Lumpur.
Selepas 28 tahun, mereka akhirnya berganding semula di Konsert Tradisional Gema Bumantara menyanyikan lagu Dondang Dendang dan Hati Kama.
View on Threads
Apa lagi momen menarik sepanjang konsert tersebut berlangsung? Jom kongsikan bersama kami di ruang komen!
Sumber: mStar, Harian Metro
