Bagi ramai umat Islam, impian menunaikan ibadah haji bukan sekadar peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci, tetapi juga memerlukan persediaan kewangan, kesihatan dan ilmu yang mencukupi.
Namun, apabila tempoh menunggu giliran haji semakin lama semakin panjang, timbul persoalan tentang bagaimana peluang menunaikan rukun Islam kelima ini boleh diuruskan dengan lebih baik, terutamanya apabila keadaan kewangan dan kesihatan bakal jemaah berubah sepanjang tempoh menunggu.
Di sinilah pentingnya konsep istito’ah, iaitu kemampuan menunaikan haji menurut syarak, yang turut menjadi asas dalam perbincangan mengenai Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman, penambahbaikan sistem giliran haji boleh membantu lebih ramai bakal jemaah membuat persediaan dengan lebih teratur, khususnya mereka yang telah lama menunggu giliran.
Istito’ah Penting Untuk Pastikan Bakal Jemaah Benar-Benar Bersedia
Menurut Mohd Sukki, langkah progresif TH ini dilihat mampu membantu pengurusan giliran haji yang lebih teratur melalui penilaian kemampuan kewangan yang lebih awal, di samping persediaan dari aspek kesihatan bakal haji.
Tawaran haji kini boleh diberikan kepada bakal jemaah yang benar-benar bersedia, sekali gus mengurangkan penangguhan.
Berdasarkan penjelasan rasmi Tabung Haji, hampir 50 peratus pendeposit yang menerima tawaran haji sebelum ini terpaksa menangguhkan ibadah tersebut, namun selepas syarat simpanan minimum RM15,000 diperkenalkan, kadar penangguhan menurun kepada 18 peratus.
“Angka ini menunjukkan kepentingan persediaan kewangan dalam memastikan bakal jemaah dapat memanfaatkan tawaran haji apabila tiba giliran mereka.”
Bagaimanapun, Mohd Sukki menjelaskan bahawa matlamat perubahan ini bukan untuk memberikan keutamaan kepada mereka yang lebih kaya, sebaliknya memastikan peluang menunaikan haji diuruskan secara adil, telus dan berdasarkan kemampuan sebenar menurut agama.
“Sistem giliran haji diwujudkan bagi menguruskan jumlah bakal jemaah yang ramai berbanding kuota haji yang terhad. Namun, apabila tempoh menunggu terlalu panjang, ada kemungkinan seseorang yang masih muda dan sihat ketika mendaftar akhirnya berdepan masalah kesihatan apabila tiba gilirannya.
“Justeru, penambahbaikan sistem giliran boleh dipertimbangkan bagi memastikan mereka yang memenuhi syarat istito’ah berpeluang menunaikan haji pada waktu yang sesuai.
“Dalam masa yang sama, pelaksanaannya perlu mengambil kira kebajikan bakal jemaah yang telah lama menunggu, khususnya warga emas. Penting juga untuk difahami bahawa sistem baharu ini tidak bermaksud sesiapa yang mempunyai simpanan RM15,000 boleh terus memotong giliran orang lain.”
Berdasarkan penjelasan yang diberikan, prinsip siapa dahulu didahulukan masih dikekalkan sepanjang tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028. Mulai 1 Januari 2029, kelayakan giliran akan diselaraskan berdasarkan syarat simpanan berkenaan.
Mohd Sukki berpandangan bahawa penambahbaikan sistem giliran haji boleh membawa manfaat sekiranya dilaksanakan secara adil dan telus, dengan kemampuan sebagai asas kepada persediaan dan pelaksanaan ibadah haji.
Apa Sebenarnya Maksud Istito’ah Dalam Ibadah Haji?
Istito’ah bermaksud kemampuan seseorang Muslim untuk menunaikan ibadah haji dari sudut kewangan, kesihatan, keselamatan perjalanan dan kemudahan untuk sampai ke Tanah Suci.
Menurut perbahasan ulama mazhab Syafi‘i, kemampuan ini merangkumi beberapa aspek utama, antaranya mempunyai perbelanjaan perjalanan pergi dan balik, menyediakan nafkah yang mencukupi kepada tanggungan sepanjang ketiadaan, mempunyai kemampuan fizikal untuk melaksanakan ibadah serta memperoleh laluan perjalanan yang selamat.
Dalam konteks semasa, seseorang juga perlu mempunyai peluang dan kebenaran menunaikan haji mengikut peraturan serta kuota yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Justeru, istito’ah tidak boleh diukur berdasarkan jumlah wang dalam akaun semata-mata. Sebaliknya, kemampuan seseorang perlu dinilai secara menyeluruh supaya pelaksanaan ibadah tidak membawa kemudaratan kepada diri sendiri mahupun orang lain.
Persediaan kewangan merupakan antara aspek yang perlu diberikan perhatian, tetapi ia tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab lain yang turut menjadi sebahagian daripada kemampuan menunaikan haji.
Belum Mampu Menunaikan Haji? Tak Perlu Rasa Berdosa
Dalam keinginan untuk menunaikan haji, ada yang mungkin berasa bimbang apabila masih belum mempunyai simpanan yang mencukupi, lebih-lebih lagi apabila melihat orang lain sudah berpeluang ke Tanah Suci.
Namun, Islam tidak mewajibkan seseorang menunaikan haji selagi syarat kemampuan belum dipenuhi.
Menurut Mohd Sukki, golongan berpendapatan rendah yang belum mempunyai lebihan kewangan selepas memenuhi keperluan wajib diri dan keluarga tidak berdosa kerana belum menunaikan haji.
“Kewajipan haji hanya berlaku apabila seseorang benar-benar memenuhi syarat istito’ah.”
Pada masa yang sama, Islam amat menggalakkan umatnya membuat perancangan kewangan yang baik serta membina kesedaran untuk menyempurnakan rukun Islam kelima apabila sudah berkemampuan.
Menabung sedikit demi sedikit merupakan usaha yang terpuji, walaupun seseorang belum diwajibkan menunaikan haji.
“Perlu dibezakan antara kewajipan menunaikan haji setelah berkemampuan dengan galakan berusaha membina kemampuan tersebut. Pada asasnya, seseorang yang belum berkemampuan tidak diwajibkan mencari atau mengumpulkan harta semata-mata untuk menjadikan haji wajib ke atas dirinya.”
Walau bagaimanapun, tabungan yang konsisten dapat membantu seseorang membuat persediaan pada masa hadapan tanpa perlu terburu-buru, berhutang atau membebankan keluarga.
Golongan Muda Jangan Tunggu Bersara Baru Nak Fikir Pasal Haji
Bagi golongan muda yang baru memulakan kerjaya, perancangan menunaikan haji mungkin bukan perkara utama kerana perlu menguruskan pelbagai komitmen kewangan seperti tempat tinggal, pengangkutan dan keperluan harian.
Namun, Mohd Sukki mengingatkan bahawa kesedaran tentang perancangan haji wajar dibina sejak awal usia bekerja.
Ini kerana perancangan lebih awal dapat membantu seseorang menyediakan simpanan secara berperingkat mengikut kemampuan, tanpa perlu menunggu sehingga menghampiri usia persaraan.
Dalam masa yang sama, umat Islam tidak diwajibkan berhutang semata-mata untuk menunaikan haji sekiranya belum mempunyai kemampuan.
Walaupun terdapat bentuk pembiayaan patuh syariah yang boleh digunakan dalam keadaan tertentu, ia tetap perlu dinilai berdasarkan kemampuan pembayaran balik serta kesannya terhadap tanggungan.
“Ibadah haji menuntut persediaan kewangan, fizikal, mental dan kerohanian. Matlamatnya bukan sekadar sampai ke Tanah Suci, tetapi melaksanakan ibadah dengan sempurna, penuh keikhlasan dan tanpa mengabaikan hak pihak lain.”
Seruan Istito’ah Bukan Sekadar Tentang Simpanan, Tetapi Kemampuan Menunaikan Haji
Kesimpulannya, konsep istito’ah memperlihatkan bagaimana syariat Islam mengimbangi tuntutan beribadah dengan realiti kehidupan manusia.
Dalam konteks pengurusan giliran haji, inisiatif Seruan Istito’ah yang dilaksanakan Tabung Haji ini dilihat sebagai salah satu mekanisme yang boleh membantu bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal, di samping menyokong usaha mengurangkan penangguhan tawaran haji.
Bagaimanapun, sebarang perubahan terhadap sistem giliran perlu dilaksanakan secara adil dan telus, dengan mengambil kira kemampuan sebenar serta kebajikan mereka yang telah lama menunggu.
Islam tidak membebankan mereka yang belum mampu, tetapi pada masa yang sama mengingatkan golongan yang sudah memenuhi syarat kemampuan supaya tidak terus melengah-lengahkan kewajipan haji.
“Janganlah kerana terlalu mengejar kemewahan dunia, kita menangguhkan kewajipan haji sedangkan kemampuan sudah tersedia. Namun, jangan pula kerana terlalu ingin menunaikan haji, kita mengabaikan nafkah keluarga dan hak orang lain.
“Akhirnya, persediaan menunaikan haji bukan hanya tentang berapa banyak wang yang berjaya dikumpulkan, tetapi juga tentang memastikan kemampuan, tanggungjawab dan tuntutan syarak dipenuhi sebelum melangkah ke Tanah Suci.”
