Graduan Buktikan Ilmu Universiti & Keberanian ‘Pivot’ Jadi Kunci Kejayaan Luar Biasa!

Sering kali kita dengar keluhan tentang graduan universiti yang sukar mendapat pekerjaan atau terpaksa bekerja di luar bidang pengajian.
Namun, realitinya ramai anak muda tempatan sebenarnya bijak mengatur langkah, mengadaptasi ilmu yang dipelajari dan berani meneroka peluang baharu demi mencipta kejayaan.
Terbaharu, kisah tiga orang graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) daripada latar belakang berbeza membuktikan bahawa mereka mampu bersaing dan kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin mencabar, termasuk di era kecerdasan buatan (AI).
Gabung Kepakaran Sains & Bisnes, Pegang Dua Peranan Sekali!
Bagi graduan baharu yang menamatkan pengajian pada Oktober lalu, Nur Ellyia Nadzirah binti Rajie, 25, pengajian dalam bidang Kimia Gunaan (STEM) di UiTM menjadi batu loncatan utama yang membolehkannya menggalas tanggungjawab sebagai pembantu pengurus di salah satu syarikat tempatan dalam industri kesihatan dan farmaseutikal hari ini.
Menariknya, skop tugas Nur Ellyia Nadzirah bukan sekadar tertumpu di makmal sebagai ahli kimia (chemist), malah merangkumi aspek pembangunan perniagaan. Ilmu formulasi dan ujian produk yang dipelajari di universiti diaplikasikan sepenuhnya untuk mengkomersialkan produk kesihatan dan penjagaan kulit ke pasaran.

Tidak cukup dengan kerjaya tetap di Kuala Lumpur, anak jati Klang, Selangor ini juga sudah lama mencipta nama sebagai usahawan muda apabila berjaya membangunkan jenama aiskrimnya sendiri, Lyia Ice Cream, sejak masih bergelar mahasiswa lagi. Berbekalkan pengalaman sebagai dropship dan ejen sebelum itu, beliau membuktikan graduan sains juga mampu menjadi usahawan yang berjaya.
Mengulas mengenai dakwaan AI bakal menggantikan pekerjaan manusia, Nur Ellyia Nadzirah berpendapat, walaupun graduan hari ini terpaksa bersaing dengan kepantasan teknologi AI, ilmu dan kemahiran praktikal yang ada membolehkan mereka kekal relevan, khususnya dalam bidang yang menuntut ketelitian teknikal serta interaksi sesama manusia.
“Bagi saya, bidang sains dan jualan korporat ini susah untuk digantikan sepenuhnya oleh AI. Kerja-kerja di makmal serta usaha membina kerjasama perniagaan masih memerlukan sentuhan dan kepakaran manusia.”
Daripada Teori Kewartawanan Ke Dunia Penyiaran Sebenar
Sementara itu, Nur A’qilah Hayati Riduan, 24, yang kini berkhidmat sebagai wartawan penyiaran di salah sebuah stesen televisyen bermula Ogos tahun ini mengakui, silibus yang dipelajari di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Masscomm) UiTM sangat membantu membina asas kerjayanya.
A’qilah Hayati yang baru sahaja bergrduan tahun ini berkata, kemahiran asas seperti penulisan siaran akhbar, teknik temu bual serta penyuntingan video yang dipelajari sejak peringkat diploma hingga ijazah sarjana muda memudahkan proses beradaptasi di lapangan.

Pengalaman menjalani latihan industri pula membuka matanya tentang realiti sebenar dunia penyiaran, termasuk cara berkomunikasi secara profesional dengan individu berprofil tinggi dan pemimpin negara.
Mengulas mengenai kebimbangan teknologi AI mengambil alih tugas pengamal media, A’qilah Hayati percaya nilai kemanusiaan tetap tidak boleh ditandingi.
“Penulisan atau penyampai berita AI mungkin canggih, tetapi ia tiada ‘jiwa’. Penonton masih memerlukan emosi dan penyampaian semula jadi daripada manusia untuk benar-benar merasai sesuatu berita itu.”
Berani Ubah Haluan Demi Masa Depan Lebih Terjamin
Berbeza pula dengan Ummi Fakhira Azian, 28, bekas graduan Sarjaana Muda Produksi Teater dari Fakulti Teater, Filem dan Animasi (FiTA) UiTM membuktikan bahawa menukar haluan kerjaya bukanlah satu kegagalan, sebaliknya langkah strategik demi perkembangan diri (career growth).
Pernah menimba pengalaman bekerja di sebuah syarikat swasta dalam bidang jualan yang jauh berbeza daripada latar belakang pengajian asalnya, Ummi Fakhira kini nekad menyambung pengajian dalam Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI) untuk mengejar cita-cita sebagai seorang pendidik.

Enggan mensia-siakan segulung ijazah yang sudah dimilikinya, keputusan menyambung pengajian itu dilihat sebagai jalan terbaik untuknya mengubah haluan hidup di samping membina laluan kerjaya yang lebih stabil pada masa hadapan.
“Saya mempunyai pengalaman bekerja dalam sektor swasta. Walaupun tidak bekerja dalam bidang seni, apa yang saya belajar di peringkat degree tetap membantu. Cuma untuk waktu sekarang, saya fikir mengubah haluan kerjaya tidak menjadi masalah asalkan saya tidak mensia-siakan ijazah sedia ada.”
Inspirasi Buat Graduan Muda
Kisah ketiga-tiga graduan ini membuktikan bahawa kejayaan seseorang tidak hanya bergantung kepada apa yang tertulis di atas sekeping transkrip akademik.
Sebaliknya, keupayaan untuk mengaplikasikan ilmu, keberanian mencuba cabang kerjaya baharu serta kesediaan mengasah kemahiran tambahan adalah kunci sebenar untuk terus cemerlang dalam apa jua industri.
Syabas diucapkan kepada ketiga-tiga alumni UiTM ini!
Sumber: Temu bual bersama graduan UiTM.
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



