Sedut ‘Gas Ketawa’ Sambil Pandu Lamborghini, Raheem Sterling Terlepas Penjara Serta-Merta

Bekas pemain sayap kebangsaan England, Raheem Sterling terlepas daripada hukuman penjara serta-merta selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya akibat menyedut ‘gas ketawa’ sebelum terbabit dalam kemalangan membabitkan kereta mewah Lamborghini miliknya.
Sterling yang pernah memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester City serta merekodkan 82 penampilan antarabangsa, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan hukuman penjara berkenaan ditangguhkan selama 18 bulan, selain mengarahkan pemain berusia 31 tahun itu menjalani 100 jam kerja khidmat masyarakat tanpa bayaran serta dikenakan larangan memandu selama dua tahun.
Ketika prosiding di Mahkamah Majistret Basingstoke, Hakim Kirsty Allman menyifatkan tindakan Sterling itu sebagai satu sikap yang secara sedar tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Berdasarkan fakta kes, insiden berlaku pada waktu puncak pagi 28 Mei lalu apabila Sterling dilaporkan memandu secara tidak menentu di lebuh raya M25 dan M3 di selatan England.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) turut membuktikan dia menukar lorong secara berbahaya dan nyaris merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya M3.
Malah, seorang saksi yang menghubungi pihak polis menyifatkan gaya pemanduan bintang bola sepak itu sebagai “sangat teruk” selain mendakwa melihat dia menyedut gas daripada belon bersaiz besar sehingga menutupi sebahagian besar pandangannya ke arah jalan raya.
Keadaan bertambah buruk apabila kereta Lamborghini yang dipandunya terbabas melanggar papan tanda di tepi jalan selepas keluar dari susur lebuh raya, mengakibatkan kenderaan mewah itu mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi boleh dipandu.
Mujur tiada kenderaan lain terbabit dalam nahas berkenaan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Ketika tiba di lokasi kejadian, pihak polis menemui Sterling sedang duduk di bahagian tempat duduk penumpang keretanya sambil memegang dua bekas berisi nitrous oxide. Dia kemudiannya mengakui kepada pihak berkuasa bahawa dirinya mempunyai “masalah dengan nitrous oxide“.
Sterling, yang beraksi bersama kelab Belanda, Feyenoord pada musim lalu, sebelum ini telah membuat pengakuan bersalah pada September atas tiga pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya, memiliki nitrous oxide dan gagal memberikan sampel darah.
Dalam pada itu, peguamnya, Jason Bartfeld memaklumkan bahawa anak guamnya mula terjebak dengan bahan terlarang tersebut ketika berdepan fasa sukar dalam karier bola sepaknya.
Sumber: Berita Harian
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



