Nak healing daripada kesibukan bandar tapi tak tahu nak pergi mana selain mesra poket tanpa perlu berjalan jauh? Jangan risau dekat Selangor pun korang boleh healing sambil menikmati alam semula jadi.
Baru-baru ini, penulis berpeluang merasai sendiri pengalaman percutian berkonsepkan glamping di Hulu Langat, Selangor, menerusi program Let’s Glamping: Media Outdoor Gathering yang berlangsung selama dua hari satu malam pada 9 dan 10 Oktober 2026.
Bertempat di The Nyaman Place, Hulu Langat, program ini menghimpunkan rakan media bersama Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Negeri Selangor (WAJA) serta pihak produksi Cinemalice untuk menikmati pengalaman aktiviti luar sambil mengenali potensi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Selangor.
Pengalaman ini juga membuka peluang untuk saya melihat sendiri kenapa glamping boleh menjadi pilihan menarik buat mereka yang nak menikmati suasana alam semula jadi tanpa perlu berkhemah secara tradisional.
Hulu Langat dan Hulu Selangor Antara Kawasan Pilihan Untuk Pengalaman Glamping

Sepanjang mengenali potensi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Selangor, antara perkara menarik yang dikongsikan ialah kewujudan beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pusat percutian berkonsepkan glamping.
Antaranya ialah Hulu Langat dan Hulu Selangor, termasuk kawasan Kuala Kubu Bharu serta Batang Kali.
Bagi penulis, kewujudan pilihan percutian seperti ini memberikan alternatif kepada mereka yang mahu menikmati suasana lebih santai tanpa perlu merancang perjalanan terlalu jauh.
Usaha ini turut merangkumi aspek pelesenan dan pematuhan peraturan bagi membantu memastikan pengusaha menjalankan operasi mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.
Bukan Sekadar Tempat Bercuti, Glamping Juga Beri Manfaat Kepada Komuniti Setempat

Satu lagi perkara yang menarik perhatian sepanjang program ini ialah bagaimana aktiviti pelancongan boleh memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar.
Mungkin apabila bercakap tentang percutian, kita lebih mudah terfikir tentang penginapan, tempat makan dan aktiviti yang boleh dilakukan.
Namun, di sebalik semua itu, terdapat juga pengusaha tempatan yang berpeluang menjana pendapatan apabila semakin ramai pelancong berkunjung ke sesuatu kawasan.
Sebagai contoh, ketika program berlangsung, penulis turut berpeluang menyertai aktiviti menunggang kenderaan semua rupa bumi (ATV) yang dikendalikan oleh penduduk setempat.
Untuk ke lokasi aktiviti yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat penginapan, kami terlebih dahulu menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan kawasan berbukit sambil menikmati udara yang nyaman, memberikan suasana berbeza daripada kesibukan bandar.
Walaupun aktiviti ini bukan diuruskan oleh pengusaha pusat glamping, namun dengan usaha sinergi antara pengusaha penginapan dan penduduk setempat menjadi ekosistem ini membantu komuniti sekitar untuk mengambil bahagian dalam sektor pelancongan.
Pengunjung juga boleh mencuba aktiviti memancing, board games, karaoke, bonfire pada waktu malam serta aktiviti di sungai yang begitu hampir dengan kawasan glamping.
Selain aktiviti rekreasi, kehadiran pengunjung juga berpotensi memberikan manfaat kepada peniaga makanan, pemilik kafe dan pengusaha perkhidmatan lain di kawasan berhampiran.
Perkara ini menjadikan pengalaman percutian lebih bermakna kerana sektor pelancongan bukan sekadar menawarkan tempat untuk dikunjungi, malah turut membuka peluang kepada penduduk tempatan.
Tourism Selangor Sasar Peningkatan Kedatangan Pelancong Setiap Tahun

Dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri, Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata pihaknya menyasarkan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak tiga hingga lima peratus setiap tahun menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
Program Let’s Glamping: Media Outdoor Gathering merupakan antara usaha memberikan pendedahan kepada rakan media untuk merasai sendiri pengalaman glamping dan mengenali potensi produk pelancongan yang terdapat di Selangor.
Selain glamping, negeri ini turut menawarkan pelbagai tarikan lain, termasuk pusat beli-belah dengan aktiviti rekreasi, taman tema dalaman serta hab gaya hidup yang menggabungkan ruang santai dan hiburan.
Menurut Ahmad Nazri situasi ini mewujudkan kesan limpahan ekonomi, apabila manfaat daripada aktiviti pelancongan turut dirasai oleh komuniti setempat dan bukan hanya pengusaha penginapan.
“Kepelbagaian pilihan ini menunjukkan bahawa Selangor bukan sekadar destinasi untuk membeli-belah atau menikmati tarikan bandar, malah mempunyai pelbagai pilihan untuk mereka yang ingin mencuba pengalaman percutian berbeza.
“Secara keseluruhannya, pengalaman menyertai program glamping di Hulu Langat ini memberikan perspektif berbeza tentang potensi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Selangor.”
Buat korang yang sedang mencari idea untuk percutian seterusnya, mungkin glamping boleh dimasukkan dalam senarai. Selain berpeluang menikmati suasana yang berbeza, korang juga boleh meneroka tarikan setempat dan menyokong pengusaha tempatan sepanjang percutian.
