Jika Taj Mahal berdiri megah sebagai lambang cinta Shah Jahan kepada Mumtaz Mahal, di Alor Setar pula, pula wujud sebuah klinik yang menyimpan kisah cinta dan perjuangan dua insan dalam dunia perubatan, MAHA Klinik.
Di sebalik nama MAHA Klinik yang begitu sinonim dengan penduduk bandar raya itu, tersimpan kisah istimewa tokoh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Nama MAHA sendiri dipercayai merupakan gabungan nama Mahathir dan Hasmah, menjadikan klinik itu simbol perjalanan hidup pasangan doktor tersohor negara.
Beroperasi pada tahun 1957
Pembantu Tadbir MAHA Klinik, Mercy Samuel, 69, berkata klinik itu mula beroperasi di Pekan Melayu pada tahun 1957 selepas Dr Mahathir meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk membuka klinik persendirian.
Menurutnya, MAHA Klinik kemudian berpindah ke Jalan Sultan Badlishah pada tahun 1979 sebelum diambil alih oleh Datuk Dr Mohamed Yacob.
“Ia sudah beroperasi hampir 50 tahun di sini dan menjadi satu-satunya klinik yang dipatenkan atas nama MAHA Klinik di negara ini,” katanya.
Dr Mahathir merupakan antara orang Melayu terawal yang membuka klinik persendirian di Alor Setar, sekali gus mencipta sejarah dalam landskap perubatan bandar itu.

Artikel berkaitan: RARE! Netizen Kongsi MC Pakciknya Yang Dirawat Oleh Tun M Pada 1963
Artikel berkaitan: 70 Tahun Bersama, 6 Moment Sweet Ini Membuktikan Tun M & Tun Dr Hasmah ‘Power Couple’ Di Malaysia
Tinggalan sejarah dua doktor
Bukan sekadar pusat rawatan dan kesihatan, MAHA Klinik menjadi kenangan yang mengabadikan nama dua doktor yang membina kerjaya dan kehidupan bersama.
Dr Mahathir sentiasa menjadikan Dr Siti Hasmah sebagai sumber inspirasi, malah kedua-duanya hampir tidak pernah berenggang.
“Ketika bulan puasa, jika Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pulang ke sini, mereka tidak pernah lupa mengajak semua staf klinik berbuka puasa bersama di rumah anak saudara mereka di Alor Setar selain singgah di Pekan Rabu,” katanya.
Masih terus bantu golongan susah
Pegawai Perubatan MAHA Klinik, Dr Reshampreet Kaur berkata Tun Dr Siti Hasmah merupakan pelopor dalam beberapa aspek perubatan termasuk perancangan keluarga, ibu dan anak.
Beliau berkata pasangan itu juga sering turun ke kampung bagi memberikan rawatan percuma kepada pesakit yang kurang berkemampuan dan miskin.

“Sejak dari dulu lagi, kalau lihat orang susah datang klinik, beliau tidak akan mengenakan caj atau hanya kenakan caj yang rendah dan itu yang kami kekalkan hingga kini,” katanya.
Walaupun Dr Mahathir tidak lagi merawat pesakit selepas menyertai dunia politik, MAHA Klinik terus beroperasi dan kekal dekat di hati masyarakat Kedah.
Malah, sehingga kini masih ada pengunjung yang datang semata-mata untuk bergambar di hadapan papan tanda MAHA Klinik, sebagai mengenang legasi dua figura besar negara itu.
Sumber: Berita Harian
