Seorang ibu muda kini terpaksa membesarkan tujuh orang anaknya sendirian selepas kehilangan suami. Lebih memilukan, Siti Azimah Tajudin, 30, terpaksa menguatkan dirinya ketika menunggu masa untuk bersalin anak ke-7 di Hospital Kajang kerana pada masa yang sama jenazah suaminya sedang dibedah siasat di hospital tersebut.
Menurut Kosmo, arwah suaminya, Shahrol Amri Sanusi, 31, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia pada awal Jumaat lalu selepas didapati tidak sedarkan diri di rumah mereka di Kampung Sungai Ramal, Kajang. Jenazah suaminya dilaporkan selamat dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam, Sg Ramal selepas selesai urusan bedah siasat.
Pengerusi Anak-Anak Muda Sungai Ramal Dalam, Diky Zawawi Abu Hassan berkata usaha bagi membantu keluarga tersebut kini sedang digerakkan. Difahamkan, Siti dan tujuh anaknya kini menghuni di rumah kos rendah dengan kadar sewa RM450 sebulan.
Komuniti setempat amat memahami dugaan yang dilalui keluarga ini lebih-lebih lagi arwah adalah individu yang turut sama menyertai program kemasyarakatan yang dijalankan sebelum ini.”
Selain itu, wakil PIBG SK Sungai Ramal Dalam, Maya Bahari berkata, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan khususnya dari segi persekolahan anak-anaknya. Mereka terdiri daripada:
- Mohd. Shahrizan, 12 tahun
- Siti NurBalqis, 10 tahun
- Mohd. Danish Qayum, 8 tahun
- Mohd. Firash Aiman, 5 tahun
- Siti Nur Airis, 2 tahun
- Mohd. Hamzah Ramadhan, 1 tahun
- Bayi perempuan yang baru dilahirkan
Jika ada yang ingin menghulurkan bantuan makanan mahu pun sumbangan kewangan kepada keluarga ini bolehlah berbuat demikian melalui akaun bank CIMB Siti Azimah Tajudin (7065548933).