“Kalau itu buat dia trigger, saya minta maaf” – Kamal Adli Tiada Niat Buat Uqasha Senrose Terasa

Pelakon Kamal Adli tampil memohon maaf secara terbuka kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose, sekiranya kenyataannya sebelum ini mengguris perasaan aktres berkenaan.
Memetik laporan media, Kamal menegaskan dia tidak pernah berniat untuk mengungkit kisah lama mahupun menyindir mana-mana pihak menerusi kenyataannya ketika ditemui media baru-baru ini.
Sebaliknya, dia menjelaskan perkara itu sekadar luahan penghargaan buat kru produksi dan rakan pelakon yang banyak memberikan sokongan ketika dirinya melalui fasa sukar sewaktu menjalani penggambaran filem Takluk 2: Op Daulat.
“Niat saya hanya mahu ucap terima kasih kepada semua orang yang ada waktu itu dan saya tidak sebut sebarang perkataan ataupun nama tentang isu yang terjadi.
“Tiada niat untuk saya ‘menembak’ sesiapa dan mungkin ini adalah salah faham. Jadi kalau betul ia salah faham, di pihak saya, saya minta maaf sangat-sangat. Kalau perkara itu mencetuskan rasa kurang senang sehingga dia terasa, saya minta maaf,” ujarnya.
Menurut Kamal, kenyataan tersebut dibuat ketika dia menjawab pertanyaan media mengenai cabaran yang dilaluinya sepanjang menjayakan filem aksi berkenaan pada malam tayangan perdana.

Pada masa sama, pelakon itu berharap orang ramai tidak terus memanjangkan isu berkenaan sehingga mencetuskan kecaman terhadap mana-mana pihak.
Tegas Kamal, hubungannya dengan Uqasha berada dalam keadaan baik dan mereka masih berkomunikasi demi urusan anak.
“Tak ada apa nak gaduh, saya tengah gembira bersama anak dan saya dengan Uqasha pun tak ada masalah. Kami pun banyak berkomunikasi fasal anak.
“Saya harap janganlah ada sesi kecam-mengecam. Itu cerita lama dah habis, dah basi.”
Dalam pada itu, Kamal turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada netizen sekiranya ada pihak yang kurang senang dengan kenyataannya sebelum ini.
Terdahulu, perkongsian Kamal yang mengimbau detik sukar selepas urusan perceraian mendapat perhatian Uqasha yang dipercayai kurang senang dengan kenyataan tersebut.
Sumber: mStar
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



