Gara-Gara Korang Suka ‘Add To Cart’ & Layan Internet, Ekonomi Digital Malaysia Melonjak RM476.8 Bilion!

Zaman sekarang ni, celik je mata terus capai telefon, kan? Dari pesan makanan, bayar bil, sampailah ke urusan kerja harian, semuanya selesai di hujung jari.
Rupa-rupanya, gaya hidup kita yang serba digital ni bukan setakat memudahkan urusan harian, tapi berjaya melonjakkan ekonomi negara ke paras yang sangat membanggakan!

Menerusi laporan terbaharu Penemuan Utama Ekonomi Digital Malaysia 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Ekonomi, sektor ekonomi digital negara berjaya menyumbang sebanyak 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2025, meningkat daripada 23.4 peratus pada tahun 2024.
Secara keseluruhannya, nilai ekonomi digital negara meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM476.8 bilion pada tahun 2025 berbanding RM451.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Sumbangan ini didorong oleh Nilai Ditambah Kasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebanyak 14.2 peratus, naik berbanding 13.9 peratus pada tahun 2024, serta aktiviti e-dagang bagi industri bukan TMK sebanyak 9.3 peratus berbanding 9.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Rakyat Malaysia Memang Kaki ‘Shopping Online’, E-Dagang Sumbang RM267.6 Bilion!

Kalau korang rasa korang sorang je yang pantang nampak promosi terus check out barang, sebenarnya jutaan rakyat Malaysia lain pun buat benda yang sama!
Laporan DOSM mendedahkan aktiviti e-dagang menyumbang 13.2 peratus kepada KDNK pada tahun 2025 berbanding 13.4 peratus pada tahun 2024, dengan Nilai Ditambah Kasar e-dagang berkembang 3.7 peratus kepada RM267.6 bilion berbanding RM258.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Momentum shopping online ni pula langsung tak perlahan bila masuk tahun 2026. Pendapatan e-dagang suku tahunan oleh syarikat dan perniagaan mencatatkan RM334.7 bilion pada Suku Pertama (ST1) 2026, sebelum memuncak kepada RM338.0 bilion pada ST2, sekali gus kekal kukuh pada RM335.8 bilion pada ST3 2026.
Line Internet Makin Laju, Liputan 5G Kini Cecah 91.2%!
Nak sokong ekonomi digital yang rancak ni, infrastruktur internet mestilah kena mantap, kan? Berita baiknya, liputan rangkaian mudah alih 5G di kawasan berpenduduk telah melonjak kepada 91.2 peratus pada tahun 2026 berbanding 82.4 peratus pada tahun 2025, manakala liputan rangkaian 4G pula kekal menyeluruh pada paras 99.8 peratus.
Dengan capaian internet yang semakin meluas, kadar penggunaan internet dalam kalangan individu di Malaysia mencecah 98.3 peratus pada tahun 2025, meningkat berbanding 98.0 peratus pada tahun 2024.

Pecahan ini merangkumi 99.2 peratus pengguna di kawasan bandar dan 95.7 peratus di kawasan luar bandar, manakala penggunaan komputer oleh individu pula merekodkan 81.5 peratus pada tahun 2024 berbanding 80.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Di peringkat perniagaan pula, penggunaan komputer dan internet oleh pertubuhan masing-masing meningkat kepada 97.2 peratus dan 95.3 peratus pada tahun 2024 berbanding 96.6 peratus dan 94.0 peratus pada tahun 2023.
Nampaknya lepas ni makin laju lah kita melayari internet dan uruskan bisnes harian, kan?
Sumber: Siaran Media Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



