“Doa berjaya seperti idola YB Syed Saddiq” – Adik Umur 10 Tahun Lantang Berhujah Di ‘Parlimen’ Bikin Ramai Terpukau

Bakat kepimpinan kalau sudah diasah dari kecil, memang lain macam perginya! Itulah yang dapat digambarkan menerusi satu perkongsian video tular di aplikasi Threads yang memaparkan keberanian seorang murid sekolah rendah bersidang di dalam Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh bapanya yang menggunakan akaun @nickalman, anaknya Nik Ziyad Malikh, 10 merupakan murid dari SK Jalan Tiga dan terpilih mewakili negeri Selangor bagi program Forum FASIH KPM (Forum Aspirasi Suara Kanak-Kanak Malaysia Madani).
Idola YB Syed Saddiq
Dalam rakaman tersebut, Nik Ziyad yang dipanggil sebagai “Yang Berhormat” oleh Yang Di-Pertua Dewan tampil penuh yakin dengan lontaran suara yang lantang serta penggunaan bahasa Melayu baku yang sangat kemas.
Apa yang lebih mengagumkan, topik yang dibahaskannya bukanlah isu biasa-biasa, sebaliknya membangkitkan persoalan mengenai ancaman ‘buruh kanak-kanak digital’ yang semakin berleluasa pada zaman media sosial kini.
“Hari ini ancaman buruh kanak-kanak telah berubah wajah daripada sektor fizikal kepada bentuk yang lebih tersembunyi, iaitu buruh kanak-kanak digital.”
Menurut hujah bernas adik Ziyad, ramai kanak-kanak masa kini terjebak dalam aktiviti penstriman langsung (live streaming) seperti di TikTok dan penciptaan kandungan demi mengejar hadiah maya (virtual gifts) serta komisen jualan.
Akibatnya, ada yang sanggup berjaga sehingga ke awal pagi hingga menjejaskan kesihatan fizikal, mental, serta menyebabkan keciciran dalam pelajaran.
Tidak sekadar membangkitkan masalah, delegasi Selangor itu turut mencadangkan kerangka tindakan 3P, antaranya memperkasakan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966 dengan memperluaskan definisi buruh agar turut merangkumi sektor digital.
Dalam pada itu, bapanya turut meluahkan rasa syukur serta mendoakan agar anak sulungnya itu terus istiqamah dan berjaya mengikut jejak langkah idolanya, Syed Saddiq, malah berharap kedua-duanya berpeluang bertemu suatu hari nanti.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen yang kagum melihat kebolehan adik Ziyad dna mendoakan agar adik Ziyad berjaya kelak.

FASIH KPM 2026 (Forum Aspirasi Suara Kanak-Kanak Malaysia MADANI) merupakan program peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Parlimen Malaysia dan agensi berkaitan seperti UNICEF.
Program ini menyediakan platform rasmi kepada murid-murid sekolah (mewakili negeri-negeri di seluruh Malaysia) untuk bersidang di dalam Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.
Ia memberi ruang kepada wakil murid (sekolah rendah dan menengah) menyuarakan pandangan, idea, dan aspirasi mereka secara langsung mengenai isu semasa yang memberi kesan kepada golongan kanak-kanak dan remaja (seperti keselamatan digital, kesihatan mental, pendidikan, dan kesejahteraan).
Sumber : Threads
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



