Jari Laju Komen Isu 3R Demi ‘Views’, Sedar Tak Kita Sebenarnya Tengah Rosakkan Masa Depan Generasi Muda?

Kalau perasan, trend media sosial sekarang memang agak menakutkan. Pantang ada isu sikit, terus ruangan komen penuh dengan perbalahan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum, dan institusi raja lebih dikenali sebagai isu 3R.
Kadang-kadang benda itu bermula daripada kandungan ‘rage-bait’ (sengaja memancing kemarahan) demi mengejar views dan likes.

Tapi bila netizen mula melatah dan jari lebih laju daripada akal, pergaduhan maya ini mula merebak menjadi kebencian yang nyata.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, trend provokasi di media sosial ini bukanlah perkara remeh yang boleh dipandang ringan kerana ia sedang mengancam asas perpaduan yang telah lama kita bina.
Bila ‘Content’ Kebencian Jadi Makanan Harian Anak Muda
Dalam era di mana maklumat berada di hujung jari, sebarang isu berbaur provokasi mampu tular dalam masa beberapa minit sahaja.
Bagi Tan Sri Lee Lam Thye, kepantasan media sosial inilah yang menjadikan isu 3R semakin berbahaya jika dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Lebih merunsingkan ialah apabila isu 3R disebarkan dalam media sosial, ia merebak dengan lebih pantas ke serata masyarakat kerana capaiannya yang lebih tinggi.
“Provokasi yang wujud daripada sebaran yang tular mengenai isu 3R dalam media sosial memberi kesan yang tidak elok terhadap perpaduan negara.”
Bayangkan apa kesannya kepada adik-adik kita iaitu generasi Z dan Alpha yang membesar dengan melihat orang dewasa bertelagah soal kaum dan agama setiap hari di TikTok atau Threads.
Lama-kelamaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia akan terhakis.
Jika sentimen sempit ini terus dibiarkan, konsep Negara Bangsa yang menjadi tiang seri keamanan negara kita boleh runtuh begitu sahaja.
Malaysia Macam Mana Yang Kita Nak Tinggalkan Untuk Mereka?
Mungkin ramai yang rasa topik pembinaan Negara Bangsa ini terlalu berat untuk dibincangkan.
Namun, jika kita fikirkan semula, ia sebenarnya berkait rapat dengan masa depan anak-anak dan generasi pelapis kita nanti.

Kita tentunya mahu generasi akan datang membesar dalam sebuah negara yang aman, stabil ekonominya, dan bebas daripada rasa curiga antara satu sama lain.
Seperti yang diingatkan oleh Tan Sri Lee Lam Thye, kita semua berkongsi satu tanah air yang sama, maka tanggungjawab menjaga keharmonian ini terletak di bahu kita bersama.
Bukan Sekadar Program ‘Sehari Dua’
Bagi memastikan generasi pelapis mempunyai jati diri kebangsaan yang kuat dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya toksik ini, penganjuran Konvensyen Negara Bangsa bakal menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat untuk mencari jalan penyelesaian serta hala tuju bersama.
Walau bagaimanapun, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa usaha menyatupadukan rakyat tidak boleh terhenti setakat di dewan seminar atau acara bermusim semata-mata.

“Kita tidak mahu Konvensyen Negara Bangsa ini hanya menjadi satu program perbincangan atau pertemuan yang berlangsung sehari dua sahaja. Apa yang kita mahukan ialah supaya konvensyen ini menjadi satu platform yang berjaya menghasilkan kesedaran, komitmen dan tindakan yang berterusan.”
Perpaduan bukanlah sesuatu yang datang bergolek tanpa usaha. Ia bermula daripada kesedaran kita sendiri termasuklah bagaimana kita memilih untuk berinteraksi di media sosial hari ini.
Kalau bukan kita yang mula menghentikan budaya toksik ini demi masa depan generasi akan datang, siapa lagi?
Sumber: Temu bual bersama Tan Sri Lee Lam Thye.
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



