Bunyi Penggera Kecemasan Terus Ke Telefon, Rupanya Ini Teknologi Di Sebalik Tabir MySiren

Tambah ke Sumber Pilihan
Carta Viral1
Bunyi Penggera Kecemasan Terus Ke Telefon, Rupanya Ini Teknologi Di Sebalik Tabir MySiren

Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Ketika seluruh kawasan perumahan sedang lena dibuai mimpi, tiba-tiba ribuan telefon bimbit menyala serentak dan mengeluarkan bunyi penggera yang nyaring. 

Walaupun peranti berada dalam mod senyap, getaran tanpa henti bersama paparan amaran banjir kilat tetap menembusi skrin.

Operasi Mysiren

Bagi kebanyakan daripada kita, proses ini nampak ringkas macam terima mesej teks biasa. Namun hakikatnya, di sebalik satu bunyi penggera yang mampu menyelamatkan nyawa itu, tersembunyi sebuah operasi teknologi berskala raksasa yang bekerja tanpa henti di belakang tabir.

Operasi  MySiren di peringkat kebangsaan bukan sekadar keputusan dasar kerajaan di atas kertas. Ia adalah satu pencapaian kejuruteraan mega yang digerakkan oleh teknologi Perkhidmatan Siaran Sel (Cell Broadcast Service – CBS).

Bukan Macam Hantar SMS Pukal, Ini Cara CBS Berfungsi

Ramai yang menyangka sistem amaran kecemasan MySiren ini berfungsi sama seperti menghantar SMS secara pukal (blast). Hakikatnya, kedua-dua teknologi ini bergerak dengan cara yang bertentangan sama sekali.

Menurut Timbalan Pengerusi bagi kluster AI Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM ), Johary Mustapa, SMS biasa adalah komunikasi ‘satu-ke-satu’ di mana setiap mesej perlu beratur sebelum dihantar ke satu nombor pada satu-satu masa.

Johary Mustapha

“Semakin ramai yang perlu dihubungi, semakin panjang barisan itu. Thailand mempelajari perkara ini dengan perit semasa gempa bumi Mac 2025 apabila sistem SMS mereka hanya mampu menghantar kepada kira-kira 200,000 nombor bagi setiap kelompok dengan selang 15 minit. Akibatnya, amaran pertama tiba lebih sejam selepas gempa berlaku.”

Sebaliknya, beliau menyifatkan teknologi CBS yang menggerakkan MySiren berfungsi persis seperti stesen radio.

“Juruhebah tidak menghantar salinan lagu kepada setiap pendengar satu persatu, sesiapa yang mendengar siaran itu akan mendengarnya pada masa yang sama.”

Cbs System

Dalam konteks telekomunikasi, setiap menara pemancar 4G dan 5G akan memancarkan amaran sekali sahaja, dan setiap telefon yang serasi dalam liputannya akan menerimanya serentak dalam masa beberapa saat, tidak kira sama ada terdapat 10 atau 10,000 pengguna di kawasan itu. 

Ia langsung tidak menggunakan laluan trafik SMS atau panggilan telefon biasa, sekali gus mengelakkan rangkaian daripada sesak.

Kerja Keras Di Sebalik Tabir: Bukan Sekadar Tekan Satu Butang

Walaupun bunyinya nampak lancar, cabaran sebenar berada di belakang tabir. Pembangunan infrastruktur MySiren sendiri menelan kos sekitar RM200 juta, merangkumi portal amaran, pusat siaran sel dalam rangkaian teras setiap syarikat telekomunikasi (telco), serta naik taraf perisian di puluhan ribu tapak pemancar seluruh negara.

Mengulas mengenai kerumitan di sebalik tabir, Johary menegaskan bahawa isu kesesakan rangkaian sebenarnya hanyalah bahagian yang paling mudah untuk diatasi.

Beliau turut merujuk kegagalan ujian pertama rangkaian teras satu pengendali di United Kingdom pada 2023 sehingga menyebabkan ramai pengguna  tidak menerima sebarang amaran.

Di Sebalik Tabir Mysirens

“Cabaran sebenar adalah memastikan rantaian sistem yang panjang melibatkan pelbagai syarikat telekomunikasi dan pembekal perkakasan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan pada jam 3 pagi ketika banjir melanda. Jika satu sambungan sahaja terputus, seluruh sistem akan terhenti dan telefon pengguna langsung tidak akan berbunyi.”

Untuk memastikan satu amaran MySiren sampai ke skrin telefon rakyat Malaysia tepat pada masanya, ia menuntut rantaian penyelarasan yang sangat ketat merentasi pelbagai institusi. 

Proses ini bermula apabila agensi teknikal seperti MetMalaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesan ancaman bencana, sebelum Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memutuskan keperluan untuk mengeluarkan amaran.

Menurut Johary, proses penyelarasan ini sederhana dari segi teknikal, namun sangat mencabar dari segi institusi apabila setiap pihak perlu bergerak serentak dengan disiplin operasi yang tinggi.

Kenapa Kena Kemas Kini Telefon & Apa Hadnya?

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa meminta orang ramai mengemas kini peranti masing-masing sekurang-kurangnya kepada iOS 27.2, Android 12 atau EMUI 16.

Ini kerana tetapan saluran amaran awam bagi setiap negara perlu dibina terus ke dalam sistem operasi telefon oleh pengeluar peranti. Namun, Johary mengingatkan orang ramai supaya realistik mengenai had teknologi ini.

Update Telefon Mysirens

“Tiada negara mencapai 100 peratus. Belanda yang menjadi perintis sejak 2012 pun mencapai 49 peratus penduduk pada 2015 dan kira-kira 94 peratus menjelang 2020. Sebab itulah MySiren melengkapi SMS, siren, radio dan televisyen, bukan menggantikannya.”

Telefon yang dimatikan, berada dalam mod pesawat (flight mode), hanya bergantung pada Wi-Fi, atau model import selari (AP set) yang tidak menyokong konfigurasi tempatan mungkin tidak akan menerima amaran ini.

Ironi Media Sosial: Memudahkan Hebahan, Tapi Menguji Kepercayaan

Dalam persekitaran hari ini, menghebahkan inisiatif berskala besar seperti MySiren mungkin bukan lagi bahagian yang paling sukar, memandangkan capaian media sosial yang begitu luas. Namun secara ironinya, disebabkan media sosial jugalah cabaran itu menjadi jauh lebih besar.

Bagi Johary, media sosial ibarat pedang bermata dua yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan inisiatif ini.

Pada maasa yang sama Johary turut menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman penyamaran amaran palsu melalui stesen pemancar haram atau Fake BTS seperti yang pernah dirampas oleh MCMC dan pihak polis di Kuala Lumpur serta Johor Bahru, di samping penyebaran tangkap layar rekaan di kumpulan WhatsApp dan teori konspirasi sebelum ujian dijalankan.

“MySiren menyebarkan kesedaran dengan cepat, tapi amaran hanya menyelamatkan nyawa jika dipercayai orang. Malah di Belanda, selepas lebih sedekad, hanya kira-kira separuh penduduk mengatakan mereka mengikut nasihat dalam amaran. Kepercayaan ialah ukuran prestasi yang sebenar.”

Pada akhirnya, kecanggihan kejuruteraan bernilai ratusan juta ringgit dan dedikasi ribuan tenaga pakar di belakang tabir MySiren hanya akan bermakna apabila setiap daripada kita peka, bersedia, dan mempercayai sistem ini tatkala detik kecemasan benar-benar tiba.

Apa rasa korang?

Topik berkaitan

Lobak Merah Partner Content
Lagi tulisan Lobak
Lobak Merah ialah laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu viral setiap hari.

Jangan terlepas cerita panas.

Dapatkan cerita pilihan kami terus ke e-mel anda.
Newsletter
Kami hanya guna e-mel anda untuk surat berita kami.

Reels

Rehat kejap. Leret, tonton, gelak.

Jangan terlepas cerita panas.

Dapatkan cerita pilihan kami terus ke e-mel anda.

Percuma

Lobak Merah

Cerita pilihan kami

  1. Bunyi Penggera Kecemasan Terus Ke Telefon, Rupanya Ini Teknologi Di Sebalik Tabir MySiren
  2. Tandas Pun Boleh Menang Anugerah? Ini Yang Menarik Tentang PETRONAS Presint 18!
  3. “Asyik Genting dengan Cameron je” – Ini 9 Tempat Percutian Sejuk Yang Ada Di Malaysia
Dengar

Masuk ke Lobak Merah

Akaun pembaca Lobak Merah dibuka tak lama lagi. Nanti korang boleh simpan cerita yang korang suka dan sambung baca bila-bila masa.

Kongsi cerita ni

Bunyi Penggera Kecemasan Terus Ke Telefon, Rupanya Ini Teknologi Di Sebalik Tabir MySiren
Facebook X Telegram Threads
lobakmerah.com/bunyi-penggera-kecemasan-terus-ke-telefon-rupanya-ini-teknologi-di-sebalik-tabir-mysiren/

Cari cerita

Carian tengah naik

  1. anwar ibrahim
  2. kementerian digital
  3. najib razak
  4. PDRM