Dari Al-Ma’unah Hingga Lahad Datu, Ini Kes Berprofil Tinggi Yang Pernah Dikendalikan Tan Sri Gani Patail

Pemergian bekas Peguam Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Gani Patail pada 26 November 2026 pastinya meninggalkan satu kehilangan besar dalam landskap perundangan negara.
Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Allahyarham bukan sahaja pernah menerajui Jabatan Peguam Negara selama lebih 13 tahun, malah turut terlibat dalam beberapa kes berprofil tinggi yang pernah mendapat perhatian seluruh negara.
Dilahirkan di Lahad Datu, Sabah pada 6 Oktober 1955, Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai Timbalan Pendakwa Raya pada 1980 sebelum memegang pelbagai jawatan penting dalam Jabatan Peguam Negara.
View this post on Instagram
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Peguam Negara kelapan Malaysia pada 1 Januari 2002 dan berkhidmat sehingga Julai 2015.
Berikut lima kes dan siasatan besar yang pernah melibatkan Allahyarham sepanjang perjalanan kerjayanya.
1. Kes kumpulan Al-Ma’unah (2000)
Antara kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikan Gani Patail ialah pendakwaan terhadap kumpulan Al-Ma’unah pada tahun 2000.
Insiden berkenaan tercetus apabila sekumpulan anggota Al-Ma’unah melakukan serangan dan merampas senjata api dari dua kem tentera di Perak, iaitu di Gerik dan Kuala Kangsar.

Malah, kumpulan tersebut turut menahan beberapa individu sebagai tebusan sebelum insiden berkenaan berakhir dengan operasi keselamatan oleh pihak berkuasa.
Kes itu menjadi perhatian seluruh negara kerana melibatkan rampasan senjata tentera, ancaman keselamatan dan tindakan kumpulan bersenjata terhadap pihak berkuasa.
Gani Patail merupakan antara tokoh perundangan yang terlibat dalam pendakwaan berkaitan kes berkenaan.
2. Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu (2006)
Selain kes berkaitan keselamatan negara, Gani Patail turut terlibat dalam pasukan pendakwaan bagi kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian meluas apabila Altantuya dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor.

Dua anggota polis, iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, kemudiannya didakwa atas kesalahan membunuh wanita berkenaan.
Perbicaraan kes tersebut menjadi antara prosiding jenayah paling mendapat perhatian masyarakat ketika itu, termasuk kerana latar belakang individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
Gani Patail merupakan sebahagian daripada pasukan pendakwaan dalam kes tersebut, yang akhirnya menyaksikan kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
3. Kes skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) (2010)
Satu lagi kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikan Gani Patail ialah skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang atau Port Klang Free Zone (PKFZ).
Pada 2010, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung urusan pembelian tanah bagi projek berkenaan.
Kes tersebut melibatkan urus niaga tanah di Pulau Indah bernilai RM1.08 bilion dan mencetuskan perhatian kerana membabitkan projek pembangunan berskala besar serta dakwaan kerugian kewangan kepada kerajaan.

Gani Patail mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tersebut.
Bagaimanapun, Ling Liong Sik kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2013 selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.
4. Kes pencerobohan Lahad Datu (2013)
Menariknya, salah satu kes besar yang pernah dikendalikan Gani Patail turut berlaku di negeri kelahirannya sendiri, iaitu Sabah.
Pada Februari 2013, sekumpulan lelaki bersenjata dari selatan Filipina menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu sehingga mencetuskan operasi keselamatan besar-besaran oleh pasukan keselamatan Malaysia.
Insiden tersebut mengorbankan anggota keselamatan negara dan mencetuskan ketegangan yang mendapat perhatian di dalam serta luar negara.

Susulan kejadian itu, Gani Patail mengetuai pasukan pendakwaan terhadap 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan berkenaan.
Antara pertuduhan yang dihadapi tertuduh termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta kesalahan berkaitan keganasan.
Kes berkenaan menjadi antara prosiding penting dalam sejarah perundangan negara kerana melibatkan isu kedaulatan, keselamatan dan ancaman terhadap Malaysia.
5. Siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) (2015)
Antara episod paling mendapat perhatian dalam perjalanan kerjaya Allahyarham ialah penglibatannya dalam siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 2015, ketika masih memegang jawatan Peguam Negara, Gani Patail mengetuai pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan 1MDB serta transaksi wang yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pasukan petugas khas itu turut melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan bersama pada 16 Julai 2015, pasukan petugas khas menjelaskan bahawa Gani Patail berperanan memberikan panduan serta nasihat perundangan bagi memastikan siasatan dijalankan mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, pada 27 Julai 2015, perkhidmatan Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan berkuat kuasa serta-merta atas alasan kesihatan yang diumumkan kerajaan ketika itu.
Perubahan tersebut berlaku ketika siasatan 1MDB masih berjalan. Pasukan petugas khas berkenaan kemudiannya dibubarkan.
Peristiwa itu mencetuskan pelbagai persoalan dan perhatian masyarakat, khususnya mengenai perkembangan siasatan 1MDB serta kedudukan Gani Patail dalam pasukan petugas khas tersebut.
Lebih tiga dekad dalam dunia perundangan
Selepas dilantik sebagai Peguam Negara pada 2002, Gani Patail menerajui institusi berkenaan selama lebih 13 tahun sebelum perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa 27 Julai 2015.
Beliau kemudiannya bersara daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada Oktober 2015 sebelum kembali diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya pada Disember 2016.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham pernah terlibat dalam pelbagai pendakwaan berprofil tinggi yang merangkumi kes pembunuhan, keselamatan negara dan salah laku kewangan.
Pemergiannya pada usia 71 tahun menutup perjalanan seorang tokoh perundangan yang pernah memainkan peranan penting dalam beberapa prosiding yang menjadi sebahagian daripada sejarah negara.
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



