Seorang wanita ditahan kerana didakwa melakukan penderaan kejam ke atas anak tirinya yang masih di bawah umur — dengan bertindak membakar tangan mangsa di atas dapur sehingga melecur.
Tribunnews melaporkan, dalam satu kejadian yang berlaku di Lampung, Indonesia — suspek yang dikenali sebagai Putri Indah Lestari, melakukan penganiayaan tersebut kerana tidak tahan dengan perangai anak tirinya yang dikatakan sering mengadu kesalahannya kepada bapanya.
Dalam pengakuannya kepada pihak berkuasa tempatan, Putri berkata dia seringkali dimarahi dan dipukul suaminya. Selain itu, dia turut mendakwa anak tirinya seringkali tidak mahu mendengar kata — dan akan sentiasa mengadu kepada bapanya setiap kali dimarahi.
Tidak tahan dengan perangai anak tirinya, Putri kemudian bertindak di luar batasan apabila memukul mangsa dengan batang penyapu sebelum mengheret mangsa ke dapur dan meletakkan kedua-dua tangan anak tirinya di atas dapur.
Mangsa dikatakan menjerit kesakitan, namun suspek terus membakar tangan anak tirinya sehingga melecur teruk — dan kemudian menyuruh mangsa merendam tangannya di dalam air laut.
Perkara itu kemudiannya diketahui oleh suaminya, dan Putri dihalau keluar dari rumah sebelum satu laporan polis dibuat ke atasnya.
Suspek kini di dalam tahanan polis, dan bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun sekiranya disabit bersalah.
Baca: Ibu Tiri Pukul & Kebulurkan Anak Tiri Umur 10 Tahun Sebelum Bakar Mayatnya Dalam Tong Sampah