Majikan Kejam Kurung 11 Pekerja Dalam Bilik Kecil di Kuching Selama 3 Tahun Tanpa Gaji

Masih ingat lagi kes Nirmala Bonat, seorang pembantu rumah yang telah didera majikannya 14 tahun lalu? Kini muncul lagi kes penderaan pekerja warga asing apabila 11 dari mereka telah ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah rumah.

Menurut Harian Metro, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Bintulu telah menerima maklumat mengenai jenayah pemerdagangan manusia di Jalan Sebiew, Bintulu. Susulan dari laporan tersebut, pasukan BSJ IPD Bintulu telah menyerbu sebuah rumah teres satu tingkat di kawasan berkenaan.

Sumber: Facebook

Ketika tiba di tempat kejadian, pintu pagar yang bermangga terpaksa dipotong pihak polis demi memasuki rumah tersebut selain dari mereka terpaksa memecahkan satu ‘bilik khas’ yang telah dikunci dari luar di dalam rumah berkenaan.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, ‘bilik neraka’ yang menempatkan mangsa-mangsa berjaya dipecahkan. Sembilan wanita dan dua lelaki antara umur 18 hingga 44 tahun telah ditemui dalam keadaan menyedihkan serta merayu minta diselamatkan.

Sumber: Facebook

“Polis menemui sembilan wanita dan dua lelaki warga Indonesia yang terkurung dalam bilik yang kecil itu dalam keadaan menyayat hati sambil menangis serta merayu untuk diselamatkan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar.

Ekoran dari serbuan tersebut, sepasang suami isteri yang berusia 59 dan 53 tahun telah ditangkap kerana disyaki memperdagangkan orang secara buruh paksa. Malah ketika kedua-dua ditahan, si isteri sempat mengugut pasukan polis dan mengeluarkan kata-kata lucah kerana berang dengan tindakan penguatkuasa tersebut.

Ish memang jenis tak makan saman punya penjenayah ni!

Sumber: Facebook

Menurut siasatan polis, pasangan tersebut telah memaksa semua mangsa untuk melakukan kerja pembersihan sarang burung bagi tujuan perniagaan. Walau bagaimanapun, pekerja warga asing tersebut telah dikurung selama tiga tahun dan tidak pernah dibenarkan keluar.

Malah, pasangan berkenaan juga tidak membayar gaji pekerja mereka dan kadangkala memukul mangsa jika kerja mereka tidak memuaskan. Kejamnya! 

Buat masa ini, kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Bintulu pagi ini dan mangsa-mangsa pula akan dihantar ke rumah perlindungan. Kes bakal disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Tak baik dera pekerja warga asing macam tu. Mereka juga manusia, ada hati dan perasaan serta penat dan lelah sama macam kita. 

Baca: Pasangan Suami Isteri Tidak Berhati Perut, Biar Pembantu Rumah Kebuluran Lebih Setahun

Ditulis oleh Syaida Ismail

Seorang yang suka berimaginasi dan amat meminati penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza. Mungkin kelihatan comel dan tidak merbahaya, namun amat menyukai novel bergenre aksi-thriller. Hati-hati!