in

Dengar Tangisan Ketika Berehat, Penoreh Getah Kongsi Detik Cemas Jumpa Bayi Berlampin Dalam Hutan

Bayi Hilang Dalam Hutan Ft

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang penoreh getah tidak menyangka bunyi tangisan yang didengarinya ketika sedang berehat selepas menebas semak di kawasan hutan membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki yang dilaporkan hilang sejak petang semalam.

Mohamed Fadhli Sudin, 41, yang berkongsi detik cemas itu berkata, bayi berusia setahun lapan bulan itu ditemukan dalam lemah dan keletihan dengan hanya memakai lampin pakai buang di kawasan ladang getah berbukit.


Menurut Fadhli, dia pada mulanya menyangka bunyi tangisan yang didengari itu hanyalah suara biasa. Namun, apabila tangisan semakin kuat, dia mula mencari arah suara tersebut.

“Saya berusaha menjejaki arah suara itu sebelum terkejut apabila menemukan bayi itu.

“Sebaik menemukannya, saya segera mendekati dan membawanya keluar dari kawasan hutan sebelum menyerahkannya kepada pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel berkaitan: “Melilau cari”- Wanita Terkejut Tengok Anak Dalam Walker ‘Hilang’, Gelagat Si Ibu Ini Buat Ramai Terhibur

Artikel berkaitan: “Belum puas bermanja” – Ibu Hud Aryan Banyak Menangis, Tidak Keruan Fikirkan Nasib Anak Yang Hilang

Terdahulu, media melaporkan bayi lelaki dikenali sebagai Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi yang dilaporkan hilang di sekitar rumahnya di Kampung Bechah Salak, Kuala Krai, Kelantan, petang semalam berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.

Screenshot 2026 11 23 153327

Mangsa ditemukan Mohamed Fadhli kira-kira jam 10.20 pagi tadi ketika dia sedang menebas semak di kawasan ladang getah berbukit, kira-kira satu kilometer dari lokasi bayi itu dilaporkan hilang.

Tambahnya, dia sememangnya mengetahui mengenai kehilangan bayi berkenaan dan turut menyertai usaha mencari mangsa sebelum ini.

Bagaimanapun, dia langsung tidak menyangka tangisan yang didengarinya ketika berehat selepas menebas semak akhirnya membawa kepada penemuan bayi terbabit.

“Saya tahu mengenai kehilangan kanak-kanak itu dan turut serta dalam usaha mencarinya sebelum ini.

“Namun saya tidak menyangka tangisan yang didengari ketika berehat selepas menebas semak membawa kepada penemuan mangsa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.