Pasangan suami isteri dari Singapura baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas kesalahan mendera pembantu rumah mereka dengan membiarkannya kebuluran selama 15 bulan.
Lim Choon Hong, seorang peniaga dijatuhi hukuman 3 minggu penjara dan denda $10,000 Singapore Dollar (kira-kira RM31,653), manakala isterinya Chong Sui Foon pula dijatuhi hukuman 3 bulan penjara.
Pasangan itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan. dan pihak pendakwa raya dilaporkan meminta pasangan itu dihukum penjara selama 12 bulan, namun selepas keputusan dijatuhkan, mereka kini dalam proses rayuan untuk hukuman penjara ditingkatkan.
Pada bulan Mac tahun lalu, pasangan berkenaan dilaporkan gagal menjaga kebajikan pembantu rumah warganegara Filipina itu, Thelma Oyasan Gawidan dengan tidak memberikan makanan yang mencukupi ketika berkhidmat untuk mereka.
Malah, wanita itu hanya diberikan kepingan roti serta mi segera untuk dimakan dua kali sehari selama lebih satu tahun! Rayuannya untuk mendapatkan lebih makanan juga tidak dipedulikan pasangan tersebut. Apahal kejam sangat!
Akibat daripada itu, Thelma telah kehilangan berat badan sebanyak 20 kilogram sepanjang bekerja untuk Lim dan keluarga.
Lebih teruk lagi, telefon bimbit serta passportnya dirampas oleh pasangan itu menyebabkannya tidak dapat menghubungi sesiapa untuk memberitahu tentang keadaannya atau melarikan diri.
Thelma bernasib baik apabila berjaya melarikan diri pada April 2014 dan menghubungi rakannya menggunakan telefon awam. Dia kemudian dihantar ke sebuah pertubuhan kebajikan untuk pekerja asing di Singapura.
Pada Disember 2015, pasangan itu mengaku bersalah di atas pertuduhan membiarkan Thelma kebuluran ketika bekerja dengan mereka.
Menurut Chong, masalah sakit mental dialaminya merupakan penyebab mengapa dia memberikan makanan yang sedikit kepada Thelma.
Chong turut berkata Thelma diberi roti dan mi kerana mudah dimakan dan tidak akan mengotorkan rumah, jadi Thelma akan mempunyai lebih banyak masa untuk membuat kerja rumah.
Namun, selepas penilaian psikiatri, mahkamah memutuskan bahawa penyakit dialami Chong tiada kaitan dengan penderaan yang dilalui Thelma itu. Menurut pakai psikiatri, meskipun tidak memberi pembantu rumahnya makan, Chong memaksa suami dan anaknya makan.
Pasangan itu kemudian memberi Thelma sebanyak $20,000 Singapore Dollar untuk penjanjian penyelesaian kes.
Bagaimanapun, pendakwa raya menuduh pasangan itu melakukan sedemikian untuk mendapatkan hukuman yang lebih rendah kerana ketika membayar mangsa, hakim sedang mempertimbangkan hukuman penjara mereka.
Walaubagaimanapun, hukuman telah dijatuhkan kepada mereka dan pasangan itu juga telah dihalang secara kekal daripada menggunakan perkhidmatan pembantu rumah asing. Padan muka!