Isu melibatkan pelawak dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki bersama penyanyi bersuara lunak, Aina Abdul nampaknya masih belum reda apabila tampil seorang individu dipercayai jurulatih kecergasan peribadi penyanyi itu bersuara mempertahankan penyanyi itu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform Threads oleh pemilik akaun @prabhu.n, lelaki berkenaan secara terbuka men-tag akaun rasmi Afdlin Shauki bagi meluahkan rasa kurang senang terhadap komen yang didakwa memperlekehkan Aina.
Artikel berkaitan : “Memang susah ler Aina” – Video Peserta Filipina Eurovision Asia Peluk Penerbit Israel Cetus Spekulasi Netizen?
Artikel berkaitan : Guna 5kg Arang Sebenar & 6,000 Swarovski, Melinda Looi Capai Hasrat Aina Abdul Jadi ‘Gunung Berapi’!
Saksi usaha keras Aina sejak tahun 2022

Menurut individu tersebut, dia sudah menjadi jurulatih kecergasan buat pelantun lagu Terus Hidup itu sejak tahun 2022 dan melihat sendiri jatuh bangun serta usaha keras Aina dalam membina nama sebagai anak seni.
“Saya jurulatih @ainaabdul sejak 2022. Saya dah lihat perjalanan dia, saya lihat dia membesar, dan saya lihat artis yang dia jadi sekarang.”
“Dia seorang penyanyi yang luar biasa, dan tiada komen murahan sesiapa pun boleh rampas usaha keras yang dia curahkan dalam karyanya.” tulisnya tegas.
Jadi pelawak tak bermakna kena biadap
Tidak terhenti di situ, jurulatih terbabit turut menitipkan pesanan pedas yang dipercayai ditujukan buat Afdlin berhubung batas dalam berjenaka.
“Jadi pelawak tak bermakna awak perlu bersikap biadab. Ada perbezaan antara menjadi kelakar dengan sekadar bersikap tiada cita rasa (tasteless),” ujarnya.
Sebelum ini, Afdlin yang memainkan peranan sebagai pegacara untuk Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dikecam netizen gara-gara memetik nama penyanyi itu.
Dalam acara tersebut, Afdlin secara berseloroh meminta agar sesiapa yang memakai baju persis Aina untuk duduk di belakang dewan kerana bimbang menghalang pandangan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
