Apabila sudah terdesak di saat kesempitan wang, terdapat segelintir masyarakat yang masih meminjam duit daripada ceti haram meskipun terdapat pelbagai kisah menakutkan yang telah terjadi pada para peminjam.
Namun, zaman sekarang bukan sahaja peminjam yang terima ugutan dari Ah Long, orang yang tidak berkenaan pun boleh menjadi mangsa.
Kira-kira jam 11.40 malam Khamis lalu, seorang lelaki bernama Yong Khai Liang sedang berehat di ruang tamu ketika dia tersedar sebuah kereta Honda Civic mendekati rumahnya di Ipoh.
Musykil dengan kelibat itu, dia pun memerhati kenderaan tersebut dari dalam rumah.
Namun, secara tiba-tiba dua orang penumpang kereta tersebut keluar dari kenderaan dan membaling sebungkus plastik berisi cat merah beserta empat keping kertas ke atas kereta lelaki itu dan terus melarikan diri.
Apabila Yong Khai Liang melihat kertas yang dilontar itu, dia terus terkejut melihat sebuah gambar seorang lelaki, kereta, nombor Mykad dan juga nombor telefon yang tertera di kertas tersebut. Namun apa yang lebih memeranjatkannya adalah, individu tersebut bukanlah dirinya.
“Tapi individu tersebut bukan saya cuma secara kebetulan dia ada nama yang sama dengan saya malah nombor MyKad juga jauh berbeza.”
Sebelum kejadian itu, bapa mangsa berkata dia pernah menerima dua panggilan telefon dari Ah Long mengatakan anaknya sudah meminjam sejumlah wang namun anaknya gagal membuat sebarang bayaran.
Bukan itu sahaja, Ah Long itu juga mengugut akan melakukan perkara yang tidak diingini jika anaknya tidak melangsaikan hutangnya itu.
“Mereka ugut saya supaya bayar RM17,000 sedangkan anak lelaki saya tak pernah sekalipun buat pinjaman secara haram dari mana-mana pihak.”
Takut akan ugutan tersebut, bapanya terus membuat laporan di Balai Polis Jelapang minggu lalu kerana risau akan keselamatan keluarganya.
Kini, pihak polis masih lagi menyiasat insiden tersebut dan berharap kes itu dapat diselesaikan dengan cara yang baik kerana mangsa tidak bersalah sama sekali.
Sebab itu kita jangan senang-senang bagi maklumat peribadi dekat orang!
Baca : Rumah Keluarga Ini Jadi Sasaran Dibaling Cat Merah Kerana Ah Long Tersalah Alamat