Bila sebut sahaja tentang Genting Highlands, pasti anda boleh bayangkan pelbagai kemalangan ngeri yang pernah berlaku. Seram kan? Ada apa dengan Genting Highlands dan kemalangan?
Menurut Harian Metro, seorang lelaki warganegara Malaysia dan rakannya, seorang wanita yang juga pelancong dari China maut apabila mereka merempuh besi penghadang di tempat letak kereta di sebuah hotel di Genting Highlands.
Pada waktu itu, dua penumpang yang dikenali sebagai V.Palanisamy, 50 tahun dan Ming Sanmao, 43 tahun dipercayai hendak memandu keluar dari tempat letak kereta bertingkat di hotel berkenaan.
Palanisamy yang dipercayai hilang kawalan ketika memandu, melanggar besi penghadang dan kereta mereka terjunam ke Taman Mini Genting Highlands Resort. Kereta yang dinaiki mereka terbalik dengan keempat-empat tayar menghadap ke atas selepas terjatuh dari ketinggian 13 meter.
Menurut saksi yang menginap di hotel tersebut, mereka menyangka pada mulanya berlaku sebuah letupan bom. Namun, apabila dijengah rupanya ia suatu kemalangan dan mereka melihat kereta tersebut sudah pun dalam keadaan terbalik.
“Ia sungguh dahsyat dan mujur kenderaan itu tidak terbakar,” ujar Lee Chung Meng yang merupakan saksi kejadian.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang teruk di kepala. Buat masa kini punca kemalangan masih dalam siasatan.
Kepada semua pemandu sentiasa berhati-hati tak kira tempat, masa dan waktu. Kepada keluarga mangsa, salam takziah kami ucapkan.