Masih ingat lagi dengan harimau bintang gempal di China yang pernah tular suatu ketika dahulu gara-gara badannya yang bulat dan comel? Haiwan yang diberi nama Pan Baobao itu kembali mencuri tumpuan netizen selepas pihak zoo memutuskan untuk menghentikan terus program penurunan berat badannya!
Memetik laporan Sunday Guardian Live, keputusan itu dibuat oleh pihak Zoo Panzhihua di barat daya China bagi memberi keutamaan penuh terhadap kesihatan dan kesejahteraan harimau bintang yang kini sudah mencecah usia 19 tahun.
Artikel berkaitan : Harimau Malaya Gagal Ke Final Selepas ‘Drama’ Masa Tambahan Aksi Indonesia-Bangladesh
Artikel berkaitan : Anjing Diwarna Jadi Harimau, Persatuan Haiwan Malaysia Kini Buru Pelaku!
Pernah tular sebab rupa seakan Clawhauser, Zootopia

Untuk rekod, Baobao mula mencetuskan fenomena di media sosial sekitar Mac 2024 selepas pengunjung merakam gelagatnya yang bertubuh gebu dengan corak bulu yang unik. Netizen pantas menyamakan penampilannya dengan watak Clawhauser, seekor cheetah gempal dan ceria dalam filem animasi popular Disney, Zootopia.
Gara-gara penangan viral tersebut, zoo berkenaan dibanjiri pengunjung yang teruja mahu melihat sendiri ‘Clawhauser versi dunia sebenar’ itu.

Susulan perhatian meluas tersebut juga, ada yang mula memberikan kritikan dengan mendakwa pihak zoo memberi makan secara berlebihan.
Berikutan itu, penjaga zoo telah melaksanakan program diet ketat pada tahun 2024. Walaupun berat badannya pernah susut dengan ketara, tubuh Baobao akhirnya kembali bulat seperti sediakala.
Faktor usia, kulit mengendur buat badan nampak lebih besar

Kini, penjaga zoo menganggap mengekalkan keadaan fizikal dan kesihatan keseluruhannya jauh lebih penting berbanding memaksa haiwan warga emas itu untuk kurus.
Menurut pegawai zoo, Zhang Songwen, haiwan yang semakin berusia secara semula jadinya mengalami perubahan fizikal termasuk kulit yang mengendur, sekali gus membuatkan saiz badannya kelihatan lebih besar daripada biasa.
Katanya, perkara paling penting adalah memastikan Baobao mendapat makanan dan nutrisi mencukupi berbanding memberi tumpuan kepada penurunan berat badan.
Bagi memastikan keperluan nutrisinya seimbang, Baobao kini diberikan lebih 500 gram daging lembu setiap hari bersama daging ayam. Malah, pemeriksaan doktor haiwan baru-baru ini turut mengesahkan bahawa harimau bintang tersebut berada dalam keadaan yang sihat.
Biarpun program telah dihentikan, pekerja zoo tetap menyediakan bola besar untuknya bermain bagi menggalakkannya bergerak aktif di dalam sangkar.
Rata-rata peminat Baobao menyambut baik keputusan pihak zoo yang menghentikan program diet tersebut. Bagi mereka, kisah Baobao ini menjadi peringatan bahawa kebajikan dan kesihatan haiwan seharusnya sentiasa diutamakan berbanding standard penampilan fizikal semata-mata.
Sumber : Harian Metro
