Tanda tanya tentang kehilangan wanita yang dikatakan melarikan diri dari rumahnya di Bandar Penawar Johor Bahru terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai pagi semalam.
Paling menyedihkan, suami mangsa berumur 43 tahun telah menjadi suspek utama dipercayai menembak isterinya ketika wanita tersebut sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kes tersebut dikatakan bermotifkan cemburu kerana polis menjumpai surat tuntutan fasakh di kediaman mereka, lapor Berita Harian.
Kes ini bermula apabila jiran mangsa membuat laporan polis berkaitan kehilangan wanita itu Isnin lepas. Susulan itu, suami mangsa dan seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya ditahan keesokan harinya bagi membantu siasatan polis
“Hasil siasatan awal ke atas suami wanita itu, suspek mendakwa isterinya keluar rumah pada pagi Isnin lalu kira-kira jam 2 pagi dan tidak pulang ke sejak itu. Suspek mendakwa berlaku perselisihan faham dengan isterinya itu sebelum mangsa keluar rumah.
Bagaimanapun, suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika wanita berkenaan sedang tidur dengan menggunakan senapang angin.
Mayat wanita malang berkenaan dimasukkan ke dalam tong air bewarna biru bersama kain cadar sebelum tong berkenaan di bawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar, lebih 30 kilometer dari kediaman mereka dan ditanam di situ,” katanya.
Mengulas lanjut kira-kira jam 10.30 pagi semalam suspek menunjukkan lokasi isterinya ditanam. Mayat mangsa diisi dalam tong air dan ditanam sedalam kira-kira dua meter di ladang serai berkenaan.
“Kita percaya suspek membawa tong air biru itu di dalam kenderaan miliknya ke ladang berkenaan sebelum menggunakan jengkaut bagi menggali lubang bagi menanam tong berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut di rumah suspek menemukan selaras senapang angin, selaras senapang patah, 54 butir peluru penabur 12 bore, sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dan sebuah jengkaut.
“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes mendatangkan kecederaan dan pemilikan senjata api,” katanya.
Tegas beliau lagi, kedua-dua suspek ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan hukuman mati mandatori akan dijatuhkan.
“Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960. Polis dapat menyelesaikan kes ini dalam tempoh tiga hari selepas laporan dibuat,” katanya.
Baca : Kes Pembunuhan Datuk Ketua Geng : Selepas 4 Tahun, Pengawal Peribadi Dihukum Gantung Sampai Mati