Punca kejadian mengenai seorang pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak, semalam, masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Bapa kepada pelajar berkenaan, Mohd Idzwan Razali, 48, berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku kepada anaknya.
“Perlu ada siasatan yang telus dan menyeluruh. Itu harapan saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Taiping, hari ini.
Mohd Idzwan berkata, dia menerima berita pemergian anaknya daripada pihak polis dan pengetua sekolah kira-kira jam 4 petang semalam.
Allahyarham merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan sudah bersekolah di institusi berkenaan sejak Tingkatan Satu dan dijangka meneruskan pengajian di situ sehingga Tingkatan Lima.
Menggambarkan perwatakan anaknya, Mohd Idzwan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anak yang baik.
Katanya, tiada sebarang perkara luar biasa berlaku sepanjang anaknya bersekolah di situ, malah kehidupan di asrama juga berjalan seperti biasa.
Mohd Idzwan berkata, kali terakhir mereka berjumpa semasa cuti perayaan Deepavali lepas, namun sempat berhubung menerusi aplikasi Telegram sebelum kejadian, apabila arwah berkongsi aktiviti biasa berkaitan kehidupan di sekolah.
“Dia menghantar mesej mengenai perkara biasa, seperti bertanya sama ada saya sudah makan dan perkara lain,” katanya.
Artikel berkaitan: Pelajar Maut Terjatuh Tingkat Empat Bangunan Sekolah, Polis Ambil Keterangan Saksi
Artikel berkaitan: Pelajar U Tempatan Maut Terjatuh Tingkat 34 Gara-gara Cuba Ambil Sehelai Baju Tersangkut Di Balkoni

Tambahnya, pihak sekolah juga sudah memberikan penjelasan kepada keluarga mengenai keadaan yang membawa kepada kejadian itu. Bagaimanapun, pihaknya memilih untuk tidak membuat sebarang andaian sehingga siasatan dan proses bedah siasat selesai.
“Mereka sudah memberikan penjelasan, tetapi semuanya masih tertakluk kepada hasil siasatan dan bedah siasat. Jadi, saya tidak boleh membuat sebarang andaian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Idzwan memaklumkan isterinya masih bersedih dengan pemergian anak mereka.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu, beberapa pentadbir sekolah dan guru direhatkan daripada tugas buat sementara waktu susulan kes kematian pelajar di sekolah berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang juga menegaskan pihaknya tidak akan berkrompomi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan, sekiranya dibuktikan menerusi hasil siasatan.
Sumber: Harian Metro
