Putus cinta dan kekasih lari ikut lelaki lain telah menjadi punca lelaki warga asing bertindak di luar kawalan, dipercayai akibat tekanan sebelum bertindak mengamuk dan menetak pergelangan tangan seorang anggota polis dalam satu kejadian di Desa Aman Puri, Kepong kelmarin.
Dalam insiden ngeri yang berlaku sekitar pukul 7 malam itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan parah apabila pergelangan tangan kanannya putus selepas ditetak suspek menggunakan sebilah parang.
Artikel berkaitan : “Ada rasa kerisauan, ada ancaman, temb*k. Jangan tunggu”- Ketua Polis KL
Artikel berkaitan : “Lebih pentingkan nyawa orang awam dari diri sendiri” – Netizen Tabik Hormat Keberanian Anggota Polis Dit*tak
Namun begitu, suspek akhirnya tumpas selepas ditembak polis akibat bertindak agresif menyerang pihak berkuasa sekali lagi. Lelaki warga asing itu disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Selayang.
Di sebalik kejadian cemas itu, berita baiknya, pergelangan tangan kanan mangsa yang putus berjaya disambung semula menerusi satu prosedur mikrosurgeri kompleks yang memakan masa selama lapan jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
Sementara itu, kisah di sebalik tabir suspek mula terbongkar apabila seorang penduduk, Mohd. Aidil Roslan mendedahkan ketika ditemui di Pangsapuri Aman Dua bahawa suspek sebenarnya sedang merana akibat broken heart.

Kata penduduk terbabit, suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan yang teruk selepas ditinggalkan oleh buah hatinya yang menetap di blok bersebelahan sejak lebih sebulan yang lalu.
“Sebelum ini, kami ada lihat dia tinggal bersama kekasihnya, namun wanita terbabit kemudian berpindah ke kediaman lain bersama teman lelaki baharu. Mungkin sebab itu dia murung,” katanya.
Tambah Mohd. Aidil lagi, gelagat suspek yang menetap seunit di bawah kediamannya itu sudah mula mencurigakan sejak dua minggu kebelakangan ini apabila sering dilihat menjerit-jerit dan kerap bertengkar dengan teman serumahnya.
Kemuncak kepada drama cemas itu berlaku apabila rakan-rakan suspek datang berkunjung semata-mata untuk memujuknya supaya dibawa mendapatkan rawatan ke hospital, sebelum keadaan bertukar tragis dan membawa kepada insiden berdarah tersebut.
Sumber : Kosmo!
