Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan maut, manakala 23 yang lain cedera dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah sekolah berhampiran ibu negara Thailand pada Jumaat.
Tragedi yang berlaku di Sekolah Debsirin Nonthaburi, terletak di bahagian barat laut Bangkok itu mencatatkan kes pembunuhan beramai-ramai terburuk di negara berkenaan sejak tahun 2022.
Pihak polis mengesahkan suspek yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan pelajar di sekolah berkenaan, bertindak membunuh datuk dan neneknya terlebih dahulu di kediaman mereka di Bang Bua Thong sebelum menuju ke sekolah untuk melepaskan tembakan.
Artikel berkaitan: Malaysia Bangkit Isu Sekatan Udang, Siakap Dan Akses Pasaran Dalam Mesyuarat Dengan Thailand
Artikel berkaitan: “Manusia ketegaq!” – Rupanya Ini Punca Sebenar Tren Selalu ‘Kena Mengalah’ Di Thailand
Jurucakap Polis Kebangsaan, Letnan Jeneral Trairong Phophan memaklumkan suspek melepaskan sekurang-kurangnya 26 das tembakan menggunakan senjata api milik datuknya, dan pemeriksaan menemui 34 butir peluru tambahan dalam simpanannya. Suspek turut disahkan maut selepas menembak kepalanya sendiri di lokasi kejadian.
Suasana panik menyelubungi kawasan sekolah berkenaan apabila ratusan pelajar dilihat bertempiaran lari keluar dari bangunan, manakala guru-guru saling berpelukan dan menangis ketakutan sewaktu mangsa yang cedera diangkut ke dalam ambulans.
Menteri Pendidikan Thailand, Prasert Jantararuangtong mengesahkan mangsa yang terkorban merangkumi pelajar dan guru. Petugas penyelamat yang tiba di lokasi kejadian melaporkan menemui seorang guru lelaki meninggal dunia di tingkat atas bangunan sekolah, manakala seorang guru wanita ditemui dengan kesan tembakan pada bahagian dada dan lengan.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul meluahkan rasa terkejut dan dukacita atas insiden yang meragut nyawa insan tidak berdosa itu.
Untuk rekod, ini merupakan kejadian tembakan di sekolah yang kedua berlaku di Thailand bagi tahun ini, selepas seorang guru maut dan seorang pelajar cedera dalam insiden berasingan di wilayah selatan negara itu pada Februari lalu.
Sumber: CNA
