Satu insiden cemas dilaporkan berlaku di Russia apabila ratusan penduduk terpaksa diletakkan di bawah perintah kuarantin ketat susulan kematian seorang pekerja makmal berusia 28 tahun yang terdedah kepada patogen berjangkit.
Kejadian yang berlaku di Institut Penyelidikan Anti-Wabak di Shelekhov, berhampiran bandar Irkutsk itu telah mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai risiko penularan jangkitan berjangkit.
Artikel berkaitan: Putin Setuju Larangan Penjualan Vape Di Rusia
Artikel berkaitan: Trump Gantung Visa Imigresen 75 Negara, Thailand, Rusia & Iran Antara Terjejas
Terpecahkan Tiub Sampel Biologi Hidup
Menurut laporan, sebelum menghembuskan nafas terakhir, mangsa sempat memaklumkan kepada petugas perubatan bahawa beliau secara tidak sengaja telah memecahkan sebuah tiub ujian yang mengandungi sampel biologi hidup ketika sedang bekerja di dalam fasiliti tersebut.

Tidak lama selepas insiden berkenaan, wanita tersebut telah dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru (pneumonia) teruk dari punca yang “tidak diketahui”. Keadaannya yang semakin merosot memaksa beliau dipasang pada mesin bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, badan pengawas keselamatan pengguna Russia, *Rospotrebnadzor*, serta-merta melaksanakan protokol sanitari kecemasan bagi mengekang sebarang risiko penularan.
Hampir 200 Orang Dikuarantin, Siasatan Jenayah Dibuka
Sekurang-kurangnya 197 individu yang disyaki mempunyai kontak langsung atau tidak langsung dengan mangsa kini diletakkan di bawah pengasingan perubatan, manakala lebih 100 daripada mereka sedang dipantau rapat di wad hospital.
Langkah kuarantin ketat turut dilaksanakan di beberapa fasiliti berhampiran termasuk Hospital Daerah Shelekhov, sebuah hospital bersalin, serta sebuah kilang aluminium tempatan.

Pihak berkuasa undang-undang Russia kini telah membuka siasatan jenayah bagi mengenalpasti sama ada wujud pelanggaran piawaian kesihatan dan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan kematian pekerja berkenaan.
Gabenor Minta Penduduk Tenang, Risiko Penularan Rendah
Gabenor Irkutsk, Igor Kobzev, menggesa orang ramai agar tidak panik dan memaklumkan bahawa Suruhanjaya Anti-Epidemik telah dipanggil bagi menangani kes yang disyaki melibatkan “jangkitan sangat berbahaya” ini. Beliau turut mengesahkan bahawa ujian ke atas semua kontak rapat setakat ini menunjukkan keputusan negatif dan mereka tidak mempunyai sebarang simptom.
Memandangkan makmal tersebut mengkhusus dalam kajian patogen berbahaya, muncul spekulasi bahawa insiden ini mungkin melibatkan wabak pneumonic plague (wabak paru-paru) yang disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis iaitu sejenis wabak yang boleh merebak dengan pantas antara manusia melalui titisan udara.
Bagaimanapun, bekas ketua Rospotrebnadzor ( Badan Pengawas Keselamatan Pengguna dan Kesihatan Awam Russia), Gennady Onishchenko, menepis kebimbangan tersebut dan menegaskan bahawa faktor cuaca sejuk ketika ini dijangka dapat membantu membendung sebarang potensi penularan secara meluas.
Sumber: Independent UK
