Sebuah insiden tragis mengorbankan sekurang-kurangnya lapan nyawa manakala 32 yang lain cedera apabila sebuah kereta api kargo merempuh sebuah bas di lintasan landasan berhampiran stesen Makkasan, Bangkok. Kesemua mangsa yang maut disahkan merupakan penumpang bas berkenaan.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Thailand, Siripong Angkasakulkiat, siasatan awal mendapati bas tersebut terhenti di atas landasan akibat kesesakan jalan raya ketika lampu isyarat merah. Situasi itu menyebabkan pagar penghalang automatik gagal ditutup sepenuhnya.
Artikel berkaitan: Peserta Miss Grand Thailand Jadi Tumpuan Ramai Gara-gara Veneer Gigi Tercabut Ketika Pertandingan
Artikel berkaitan: “Saya risau keadaan dia” – Terlibat Dalam Kemalangan, Pempengaruh Kaartik Sedih Masih Belum Dapat Jumpa Isteri
Memandangkan kereta api tersebut membawa muatan kontena yang sangat berat, ia gagal membrek tepat pada masanya lalu merempuh bas serta beberapa kereta dan motosikal yang tersangkut sama.
Diseret Hingga Terbakar, Saksi Dedah Detik Cemas
Rempuhan kuat itu menyebabkan api marak dengan pantas dan merebak ke kenderaan sekitar. Seorang pemandu teksi motosikal yang menyaksikan kejadian, Wanthong Kokpho, memberitahu kenderaan di situ langsung tidak boleh bergerak ke mana-mana kerana terkunci rapat dalam kesesakan.
“Kebakaran berlaku serta-merta selepas rempuhan. Jika kejadian ini berlaku pada hari bekerja biasa, impaknya pasti jauh lebih buruk,” katanya.
Pasukan bomba mengambil masa beberapa jam untuk mengawal api dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan kenderaan sebelum kesemua mangsa cedera dihantar ke hospital berdekatan.
Sikap ‘Ketegaq’ Pengguna Jalan Raya Jadi Punca?
@dina_polyglot Replying to @pororo
Susulan kejadian itu, tular video perkongsian @dina_polyglot penjelasan mengenai tabiat segelintir pemandu di kawasan tersebut yang sering bersikap ‘ketegaq’ (degil) dengan mencelah masuk landasan walaupun siren amaran telah berbunyi.
Malah, penduduk mendakwa pemandu di sana sudah terbiasa melihat kereta api ‘mengalah’ dan berhenti untuk mereka. Bagaimanapun, dalam kes tren kargo berat ini, pemandu kereta api memang tidak ada ruang untuk berhenti mengejut.
Pihak berkuasa Thailand kini sedang menjalankan siasatan lanjut. Isu penguatkuasaan trafik yang lemah sering menjadi punca jalan raya di Thailand dikategorikan antara yang paling berbahaya di dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
