Selepas 3 individu semalam diisytiharkan bebas Coronavirus dan seorang disahkan dijangkiti Influenza A, hari ini 8 warga China katanya telah dikuarantin dekat sebuah hotel di Johor Bahru.
Menurut Sinar Harian, 8 orang warga China itu datang bersama seorang mangsa yang kini positif wabak tersebut di Singapura.
Diasingkan di sebuah hotel dekat JB, akan dipantau lebih kurang seminggu
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, kesemua pelancong itu tiba di negara kita semalam dan mereka kini telah diasingkan dan dipantau lanjut oleh pasukan kesihatan.
“Mereka diasingkan di sebuah hotel di Johor Bahru dan sedang dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.
“Mereka bukanlah pesakit tetapi kita perlu melihat sama ada berlakunya tanda-tanda simptom atau tidak kerana mereka ada kaitan dengan kes dari mangsa di Singapura itu,” jelasnya semasa membuat lawatan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) hari ini.

Negara masih bebas wabak Coronavirus
Tambah Boon Chye, negara kita kini masih lagi bebas daripada wabak tersebut.
“Semalam dilaporkan empat kes disyaki virus itu dan kesemuanya telah diperiksa dan bebas daripada koronavirus setakat ini.
“Kita akan terus membuat saringan supaya tindakan awal dapat diambil sekiranya ada kes sedemikian melepasi sempadan.
“Kita akan pertingkatkan peralatan untuk saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara,” katanya.

Semalam media Singapura melaporkan seorang warga China diuji positif sekaligus menjadikan dia mangsa pertama wabak Coronavirus di Singapura.
Lelaki berusia 66 tahun ni berasal dari Wuhan, China bersama 9 rakan lain pada Isnin lepas dan menginap di Resort Shangril-La Rasa Sentosa.
8 sahabatnya telah berangkat pulang dari negara tersebut dan kementerian Singapura sudahpun menghubungi pihak berkuasa negara yang mereka tujui (Malaysia).
Haih harapnya tak adalah mereka bawa penyakit ke sini ye!