Sebentar tadi, Malaysia telah berjaya merangkul pingat emas pertama dalam kategori powerlifting lelaki 72 kilogram di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Memetik laporan Astro Awani, pingat emas sulong itu disumbangkan oleh atlet Bonnie Bunyau Gustin, 22, dari Sarawak.
Difahamkan, Bonnie Bunyau Gustin dilihat sebagai pencabar utama bagi merangkul pingat terbabit susulan berjaya memecah rekod dunia 230kg pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu.
Ketika temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Tokyo International Forum tadi, Bonnie telah memecahkan rekod Paralimpik dengan 228kg.
Pencapaian itu sekali gus membolehkan Bonnie meninggalkan pencabar terdekat, Mahmoud Attia dari Mesir di tempat kedua (191kg) dan Micky Yule dari Great Britain di tempat ketiga (182kg).
Untuk pengetahuan, Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bermula secara rasmi pada 24 Ogos lalu dan akan berakhir pada 5 September depan. Seramai 22 atlet negara terlibat mengambil bahagian dalam sembilan acara sukan di temasya berkenaan.
Sebelum ini, atlet Brenda Anellia Larry telah mencatatkan rekod Asia selepas berjaya merekodkan masa 1 minit 00.62 saat dalam Saringan 2, 50 meter kuak kupu-kupu wanita yang berlangsung pada 27 Ogos lalu.
Emas Pertama Dari Paralympic Tokyo 2020
Padu!!!! Bonnie Bunyau pic.twitter.com/RkJLAFgKLH
— #TeamMALAYSIA (@AtletMalaysia) August 28, 2021
Sumber: Astro Awani
Baca: Brenda, Perenang Para Wanita Negara Berjaya Catat Rekod Asia di Sukan Paralimpik