Korang tahu tak, usaha merapatkan jurang digital bukan hanya melibatkan kemudahan internet, tetapi juga penambahbaikan prasarana kampung dan sekolah supaya lebih ramai dapat menikmati manfaat teknologi.
Terbaharu, Kementerian Digital memperuntukkan sebanyak RM700,000 bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Limbang, Sarawak, menerusi inisiatif yang turut memberi tumpuan kepada kemudahan komuniti dan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Penduduk Kampung Belimbing Melugus Dan Murid SK Ukong Terima Manfaat

Kementerian Digital dalam satu kenyataan berkata peruntukan bagi Program KAM akan dimanfaatkan oleh penduduk Kampung Belimbing Melugus, Limbang, yang melibatkan sebanyak 29 isi rumah.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk pemasangan lampu solar LED, kelengkapan sokongan kampung dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pembekalan peralatan ICT ini turut diperluaskan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong.
Selain itu, sokongan turut disalurkan kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan peralatan elektrik di Kampung Belimbing Melugus.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan kemudahan asas komuniti setempat, di samping memperluas akses kepada teknologi digital, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar.”
SK St. Edmund Bakal Nikmati Kemudahan Pembelajaran Lebih Baik

Dalam pada itu,program SAM dilaksanakan di SK St. Edmund di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Digital.
Menerusi program ini, sekolah berkenaan menerima penambahbaikan kemudahan pembelajaran termasuk pemasangan skrin LED di dewan, pembekalan papan pintar (smartboard) dan pemasangan titik capaian tanpa wayar (wireless access point).
Kemudahan ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selain membantu memperluas penggunaan teknologi digital dalam pendidikan.
Murid Dan Komuniti Turut Didedahkan Dengan AI, Keselamatan Siber

Bukan setakat menaik taraf kemudahan fizikal, Program Jelajah Digital yang berlangsung serentak turut memberi pendedahan kepada murid sekolah dan komuniti setempat mengenai penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.
Menurut Kementerian Digital antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi pengenalan dan penerokaan teknologi kecerdasan buatan (AI), literasi digital, kesedaran keselamatan siber serta pencegahan penipuan dalam talian.
“Program ini turut melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kemahiran digital dalam kehidupan seharian.”
Majlis penyerahan Program KAM dan SAM itu berlangsung di SK St. Edmund pada 24 Oktober 2026, disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Selain itu, program berkenaan turut diadakan bersempena Hari Terbuka SK St. Edmund dan dimeriahkan dengan penganjuran Jualan RAHMAH MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan kepada warga Limbang.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini mencerminkan usaha Kementerian Digital untuk memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati masyarakat di pelbagai kawasan, termasuk komuniti luar bandar, menerusi peningkatan kemudahan asas, akses teknologi dan kualiti pendidikan.”
Sumber: Siaran Media Kementerian Digital
