in

“Saluran pernafasan tersumbat akibat makanan” – Murid Meninggal Dunia Akibat Sesak Nafas Di Sekolah

Ft Murid Meninggal Dunia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tragedi yang menimpa seorang murid perempuan berusia 7 tahun di sebuah sekolah di Sepang baru-baru ini sememangnya meruntun hati ramai. Mana tidaknya, anak yang sebelum ini sihat dan aktif secara tiba-tiba dijemput Ilahi dipercayai akibat saluran pernafasan tersumbat.

Bapa mangsa, Mior Shahrizal Mior Zakaria, 48, berkongsi detik cemas apabila dia bergegas ke sekolah sebaik sahaja dimaklumkan mengenai keadaan anaknya yang mengalami kesukaran bernafas.


Artikel berkaitan : Kes Murid Meninggal Dunia Akibat Dipaksa Bersukan, Netizen Saran Sekolah Pakaikan ‘Nametag’ Lain Warna Buat Pelajar Sakit

Artikel berkaitan : Lagi Kes Kematian Kanak-kanak, Seorang Murid PPKI Meninggal Dunia Akibat Influenza

Punca sebenar masih belum dikenal pasti

Screenshot 2026 10 20 180052

Namun, setibanya di sana, dia melihat anak kesayangannya sudah terlentang tidak sedarkan diri di koridor tingkat dua sekolah berkenaan.

Mior Shahrizal cuba memberikan bantuan awal termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun tiada sebarang tindak balas daripada anaknya.

“Lebih kurang 15 minit kemudian, ambulans tiba. Ketika itu, keadaan anak saya sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya.

Menurut makluman doktor, terdapat kemungkinan saluran pernafasan mangsa tersumbat disebabkan oleh makanan, sama ada pisang atau ayam. Walau bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

“Doktor memaklumkan saluran pernafasan anak saya dipercayai tersumbat akibat makanan, sama ada pisang atau ayam, namun punca sebenar belum dapat dipastikan.”

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.30 malam, Isnin.

Beliau berkata, mangsa yang berusia tujuh tahun itu telah diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital berkenaan.

Lebih menyedihkan, Mior Shahrizal yang sanggup berhenti kerja sejak awal Januari lalu demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan persekolahan anak termasuk menghantar dan mengambilnya setiap hari dan berkongsi bahawa anaknya sempat menunjukkan perubahan sikap luar biasa sehari sebelum kejadian.

Anaknya yang menghadiri sekolah agama pada sesi pagi dan sekolah kebangsaan pada sebelah petang itu dilihat lebih berdikari daripada biasa.

“Biasanya, apabila balik sekolah agama, dia agak liat apabila disuruh mandi namun semalam apabila saya suruh mandi, dia terus bangun dan melakukannya sendiri.

“Dia juga memakai pakaian sekolah dan tudung sendiri tanpa meminta bantuan saya seperti kebiasaannya,” luahnya.

Anak perempuan yang disifatkan sangat rapat dengannya itu sering berkongsi cerita dan mengadu jika berdepan sebarang masalah. Walaupun pemergian ini meninggalkan kesedihan yang amat mendalam, Mior Shahrizal reda dengan ketentuan takdir yang telah ditetapkan.

Mior Shahrizal berkata, beliau menerima ketentuan itu dengan hati yang reda meskipun kehilangan anak yang amat disayanginya.

Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang cukup berat ini.

Sumber : Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.