Zaman sekarang, mempunyai segulung ijazah sahaja belum tentu menjamin tempat dalam industri, lebih-lebih lagi apabila teknologi Kecerdasan Buatan (AI) semakin pantas mengambil alih pelbagai tugasan manusia.
Dalam era digital yang bergerak terlalu laju ini, ramai graduan baharu mungkin tertanya-tanya mengapa peluang pekerjaan terasa semakin sempit meskipun statistik pengangguran negara menunjukkan penurunan?
Menerusi satu temu bual eksklusif bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Forest Interactive, Johary Mustapha, beliau berkongsi realiti sebenar dari sudut pandang seorang majikan mengenai cabaran besar yang bakal dihadapi graduan dalam masa terdekat, selari dengan keperluan membentuk tenaga kerja yang lebih bersedia di peringkat pengajian tinggi.
AI Bukan Lagi ‘Masa Depan’, Ia Sedang Berlaku Sekarang
Menurut Johary, dunia pekerjaan kini sudah pun berada di titik perubahan besar akibat revolusi AI. Jika dahulu Malaysia mengambil masa sekitar empat hingga lima tahun untuk mengadaptasi teknologi baharu, kini peralihan tersebut berlaku dalam tempoh satu hingga dua tahun sahaja.

Kesannya, syarikat-syarikat kini menjadi jauh lebih selektif dan cenderung mengecilkan saiz tenaga kerja demi menjimatkan kos operasi.
“Kalau dulu kita perlukan 10 orang untuk buat kerja-kerja rutin, sekarang syarikat hanya akan ambil seorang atau dua orang sahaja yang mahir menggunakan AI untuk menguruskan kerja 10 orang tersebut.”
Beliau turut merujuk kepada unjuran global (AI 2027) yang menjangkakan menjelang tahun 2027, seorang pekerja yang dibantu oleh teknologi AI mampu melaksanakan tugasan bersamaan 12 hingga 30 orang pekerja konvensional.
Graduan Baharu Vs Pekerja Berpengalaman, Siapa Pilihan Majikan?
Menariknya, gelombang AI ini juga mengubah cara majikan menilai dan memilih pekerja.
Johary yang juga Timbalan Pengerusi bagi kluster AI Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM ) turut mendedahkan bahawa ramai ketua pegawai eksekutif (CEO) kini mula beralih daripada menggaji pekerja senior berpendapatan tinggi kepada bakat muda yang lebih celik teknologi.

“Dulu syarikat sanggup bayar RM9,000 untuk pekerja pemasaran dengan 10 tahun pengalaman. Sekarang, mereka lebih rela mengambil graduan dengan satu atau dua tahun pengalaman pada gaji sekitar RM3,500 kerana hasilnya tetap memuaskan dengan bantuan AI.”
Walau bagaimanapun, situasi ini tidak bermakna laluan untuk graduan baharu terbuka luas. Disebabkan nisbah pengambilan pekerja bukan lagi one-to-one, persaingan menjadi sangat sengit dan hanya mereka yang benar-benar mampu bekerja bersama AI akan dipilih.
Silibus Universiti Terlalu Lambat Kejar Teknologi?
Menyentuh soal persediaan di peringkat universiti, Johary berpandangan bahawa kitaran pembangunan kursus akademik mengambil masa terlalu lama, kadangkala mengambil masa sehingga lima ke enam tahun sebelum graduan pertama dalam bidang baharu berjaya dilahirkan.

Dalam konteks AI yang berubah setiap beberapa bulan, ilmu yang dipelajari pada tahun pertama pengajian mungkin sudah tidak relevan apabila mereka menamatkan pengajian kelak.
Sebaliknya, beliau melihat program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih tangkas menyesuaikan diri dengan kehendak industri menerusi kursus sijil jangka pendek yang lebih praktikal.
Tempoh Latihan Industri Perlu Lebih Panjang
Dari kaca mata majikan, tempoh latihan industri konvensional selama dua setengah hingga empat bulan dianggap terlalu singkat untuk memberi impak sebenar kepada syarikat mahupun pelajar itu sendiri.
Beliau menegaskan bahawa tempoh minimum yang ideal seharusnya sekurang-kurangnya enam bulan supaya pelajar dapat memahami aliran kerja sebenar dan memberikan kesinambungan tugas.
Malah, model latihan sambil bekerja selama setahun seperti yang diperjuangkan menerusi inisiatif TVET dan program berkaitan dilihat jauh lebih efektif untuk menyediakan graduan yang benar-benar bersedia menempuh alam industri.

Hakikatnya, permintaan terhadap pekerja baharu dijangka kekal statik atau menurun dalam beberapa tahun akan datang apabila banyak syarikat besar lebih memilih untuk melatih semula kemahiran pekerja sedia ada bagi mengisi kekosongan jawatan baharu.
Justeru, bagi graduan yang bakal melangkah ke alam pekerjaan, kebergantungan kepada kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi.
Kemahiran menguasai alat AI, keupayaan beradaptasi dengan pantas, serta pendedahan industri yang lebih panjang menjadi kunci utama untuk kekal relevan dan menjadi pilihan majikan masa kini.
Sumber: Temu bual bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Forest Interactive, Johary Mustapha.
