Pada 2 Mac lalu, Naomi Chen, model dari Taiwan yang popular di internet telah dirogol dengan kejam dan dicekik hingga mati oleh seorang lelaki.
Lelaki itu dikenal pasti bernama Cheng berusia 24 tahun dan merupakan seorang jurugambar. Menurut portal berita di Taiwan, Cheng telah menjemput gadis berusia 22 tahun itu untuk satu sesi fotografi di sebuah pusat membeli belah terbengkalai terletak di Bade Road, Daerah Songshan, Taipei.
Rupa-rupanya, lelaki itu dan si mati mengenali antara satu sama lain kerana gadis tersebut merupakan rakan teman wanitanya.
Malah, dia menghubungi gadis itu untuk ‘sesi fotografi’ melalui teman wanitanya!
Selepas melakukan perbuatan kejam itu, lelaki tersebut telah mengambil semua barangan milik mangsa dan meninggalkan mayat gadis itu di tempat letak kereta bawah tanah pusat membeli belah terbengkalai tersebut.
Dia bersama teman wanitanya, Liang kemudian melarikan diri dan daftar masuk di sebuah hotel di Tai Chung menggunakan kad kredit mangsa.
Ketika berada di hotel itu, Cheng membuat keputusan untuk membuang telefon bimbit milik mangsa. Bagaimanapun, keesokan harinya, pekerja hotel itu menemui telefon bimbit berkenaan dan mula berasa curiga memandangkan berita kematian model itu sedang tersebar.
Tanpa ragu-ragu dan menunggu lebih lama, pekerja hotel itu terus menghubungi pihak polis. Kedua-dua mereka kemudian ditahan pihak polis ketika mahu meninggalkan hotel.
Lelaki itu pada mulanya mengaku membunuh tetapi menafikan dakwaan melakukan serangan seksual terhadap mangsa. Namun, Cheng kemudian mengaku selepas bukti menunjukkan mangsa telah dirogol.
Cheng turut mendakwa teman wanitanya berada di tempat kejadian ketika jenayah itu berlaku. Menurutnya lagi, dia sangat terdesak untuk mendapatkan wang dan pada mulanya hanya berniat untuk merompak sahaja.
Bagaimanapun, teman wanita Cheng menafikan tuduhan darinya dan menegaskan bahawa dirinya tiada kena mengena dengan kematian rakannya itu.
Meskipun tidak berlaku di Malaysia, kepada gadis di luar sana yang mempunyai kerjaya sebegini, berhati-hati dan jangan mudah tertipu. Begitu juga kepada mereka yang tiada kena mengena dengan kerjaya sebagai seorang model, kerana ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.