Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di beberapa negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersetuju untuk memberi kebenaran kepada sektor-sektor tertentu untuk bekerja di pejabat.
Bidang tugas yang terlibat adalah perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi komunikasi maklumat.
Walau bagaimanapun, MITI hanya membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan tertentu untuk berada di pejabat selama empat jam sahaja bermula 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.
“Syarikat hanya perlu sediakan surat pelepasan” – Azmin Ali
Bagi pindaan peraturan ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri MITI berkata, syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan itu, sebaliknya majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan.
Pada masa yang sama, pihak majikan juga disarankan untuk menetapkan garis panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing.
“Mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pihak industri memperkenalkan dasar BDR atau Work From Home (WFH),”
“Dasar ini perlu diambil sebagai langkah untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik Covid-19 terutama di kawasan sedang menjalani PKPB,”
KKM anjur perketatkan SOP di KL dan Selangor
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPB di Selangor dan Kuala Lumpur.
Langkah terbaik adalah dengan menghadkan pergerakan orang ramai di dua bandarara ini yang mempunyai jumlah penduduk padat dan menjadi antara hab perindustrian utama negara.
Tambah Azmin, seramai 776,135 pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan dan kumpulan ini telah mula diwajibkan untuk BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN, lapor Harian Metro.
Baca: PKPB : Penduduk Kawasan Zon Merah Harus Kerja Di Rumah Bermula 22 Oktober Ini