in

MIHAS 2026 Lancar Platform WiEX Untuk Perkasa Penyertaan Wanita Dalam Ekonomi Halal Global

Mihas 22Nd Banner

Platform Women in Export (WiEX) akan dilancarkan menerusi WiEX @MIHAS, sebuah inisiatif khas oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 edisi ke-22.

Program yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur ini mencerminkan komitmen MATRADE dalam memperkukuh penyertaan wanita dalam perdagangan antarabangsa. Platform ini turut bertujuan membantu perniagaan milik dan diterajui wanita berkembang melangkaui pasaran domestik serta merebut peluang eksport global dalam ekonomi halal yang semakin pesat berkembang.

305964

Berikutan kejayaan penganjuran Forum WiEX yang pertama pada tahun 2025, WiEX @MIHAS 2026 tampil dengan tema “Advancing Women in the Halal Economy” dan akan merangkumi empat komponen utama iaitu:

  • Pavilion WiEX – Ruang pameran khas yang mengetengahkan syarikat milik dan diterajui wanita merentasi 14 sektor industri halal MIHAS.
  • International Sourcing Programme (INSP) – Sesi padanan perniagaan bersama pembeli, pengedar, peruncit dan pelabur antarabangsa.
  • Forum WiEX @MIHAS – Platform perkongsian ilmu berimpak tinggi yang membincangkan isu-isu penting yang membentuk masa depan perdagangan global.
  • Anugerah Wira Ekonomi Wanita – Mengiktiraf usahawan wanita cemerlang yang menunjukkan prestasi luar biasa, inovasi dan kepimpinan dalam pasaran eksport.

Pavilion WiEX bakal menghimpunkan usahawan wanita dari Malaysia dan pelbagai negara bagi mempamerkan produk serta perkhidmatan halal yang inovatif, amalan perniagaan mampan dan penyelesaian yang bersedia untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.

Sebanyak 80 ruang pameran disediakan di Pavilion WiEX, dengan 60 ruang diperuntukkan kepada syarikat Malaysia manakala selebihnya kepada peserta antarabangsa. Syarikat tempatan yang menyertai Pavilion WiEX turut berpeluang menghadiri sesi padanan perniagaan yang telah diatur lebih awal bersama pembeli antarabangsa menerusi International Sourcing Programme (INSP) anjuran MATRADE.

Tahun ini, MATRADE menyasarkan membawa masuk 300 pembeli antarabangsa dari pelbagai negara dan memudah cara lebih daripada 120 sesi padanan perniagaan khusus untuk syarikat Malaysia yang menyertai Pavilion WiEX.

Melalui peluang jaringan perniagaan serta integrasi bersama INSP yang terkenal di MIHAS, syarikat yang mengambil bahagian akan mendapat akses terus kepada pembuat keputusan antarabangsa serta bakal rakan strategik perniagaan.

Antara tarikan utama platform ini ialah Forum WiEX @MIHAS yang membawa tema “Thriving Through Uncertainty: How Women Exporters Can Adapt, Compete, and Grow.”

Forum tersebut akan menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan pengeksport berjaya untuk berkongsi pandangan mengenai cara menghadapi perubahan landskap perdagangan global, memanfaatkan pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI), meneroka pasaran baharu dan membina perniagaan yang lebih berdaya tahan serta mampan.

Turut melengkapkan inisiatif ini ialah Anugerah Wira Ekonomi Wanita, yang mengiktiraf pencapaian luar biasa pengeksport wanita dalam tiga kategori utama iaitu Kecemerlangan Produk, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Kecemerlangan Inovasi & Kelestarian. Pemenang anugerah akan menerima pendedahan lebih meluas menerusi platform MATRADE dan MIHAS, peluang penjenamaan strategik serta akses keutamaan kepada program-program promosi eksport terpilih.

Ekonomi halal tidak akan mencapai potensi sepenuhnya sekiranya bakat usahawan wanita tidak dimanfaatkan secara menyeluruh. WiEX @MIHAS meletakkan usahawan wanita di barisan hadapan sebagai pemacu inovasi, kualiti dan kecekapan pasaran dalam ekonomi halal. Setiap kejayaan usahawan wanita menerusi platform ini membawa kita lebih dekat kepada sasaran RM80 bilion eksport halal menjelang 2030. Ini bukan sekadar dasar yang baik, malah langkah ekonomi yang tepat,” kata Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, usahawan wanita kini semakin memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pelbagai industri.

Melalui WiEX @MIHAS 2026, MATRADE berhasrat menyediakan ekosistem yang menyeluruh dengan menghimpunkan peluang perniagaan, kerjasama strategik, pembangunan kapasiti dan pengiktirafan dalam satu platform. Inisiatif ini akan melengkapkan perniagaan diterajui wanita dengan rangkaian, pengetahuan serta akses pasaran yang diperlukan bagi memperkukuh keupayaan eksport dan bersaing di pasaran halal global.”

Bagi syarikat yang berminat menyertai WiEX @MIHAS 2026, permohonan boleh dikemukakan kepada:

Pn. Noor Asiah Mahmud
Tel: 03-6207 7606
E-mel: noorasiah@matrade.gov.my

Pn. Shafinaz Riza Zamhari
Tel: 03-6207 7362
E-mel: iza@matrade.gov.my

Bagi perniagaan halal yang berminat menjadi pempamer di MIHAS 2026, pendaftaran boleh dibuat melalui laman rasmi pempamer MIHAS selaras dengan matlamat acara itu untuk menghubungkan pembeli dan pembekal global merentasi pelbagai sektor industri halal.

Sumber: Malay Mail