in

MIHAS 2026 Kembali! 50,000 Pengunjung Dari 45 Negara Bakal Serbu MITEC, Sasaran RM5 Bilion

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 3 3

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kalau korang memang nak tengok macam mana industri Halal berkembang di peringkat global, MIHAS 2026 bakal kembali dengan skala yang lebih besar.

Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 akan membuka pintunya di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur pada 23 hingga 26 September ini.


Menariknya, edisi ke-22 ini dijangka menerima 50,000 pengunjung dari 45 negara sepanjang empat hari berlangsung.

Sebanyak 1,700 syarikat dijangka mengambil bahagian menerusi 2,000 reruai, dengan MIHAS 2026 menyasarkan RM5 bilion jumlah nilai jualan menerusi pameran dan program padanan perniagaan.

Acara ini dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).

Ada Sistem AI Baharu Untuk Bantu Pengunjung

Tahun ini, MIHAS tampil dengan sistem MIHAS AI yang direka untuk membantu peserta merancang dan menavigasi kunjungan mereka.

Pengunjung yang mendaftar turut mendapat akses kepada sistem berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Indera Abu Bakar Yusof, setiap peserta berdaftar akan diberikan ejen AI khusus serta sokongan yang diperibadikan.

Sistem itu boleh membantu peserta mencari perniagaan, berinteraksi dengan pempamer dan membina hubungan yang relevan.

“Dengan MIHAS 2026 dijangka menerima 50,000 pengunjung, sistem AI akan menyediakan setiap peserta berdaftar dengan ejen AI khusus dan sokongan diperibadikan untuk menemui perniagaan, berinteraksi dengan pempamer dan membina hubungan yang relevan.

“Kami percaya pendekatan ini akan meningkatkan pengalaman MIHAS dan menyokong usaha kami mencapai nilai jualan RM5 bilion tahun ini.”

Sistem tersebut turut menggabungkan fungsi padanan perniagaan, sokongan pelbagai bahasa, navigasi pameran, pengurusan mesyuarat dan penglibatan selepas acara.

Bukan Sekadar Pameran Ada Enam Komponen Utama

MIHAS 2026 akan menampilkan enam komponen utama iaitu Showcase, International Sourcing Programme (INSP), Knowledge Hub, Women in Export (WiEX), MIHAS Awards dan Hosted Buyer Programme.

Menerusi Showcase, pengunjung boleh melihat pelbagai sektor dalam ekonomi Halal global.

Antaranya termasuk makanan dan minuman, bahan ramuan Halal, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal, fesyen santun, logistik Halal serta kewangan Islam.

Bagi INSP pula, program padanan perniagaan utama MIHAS itu dijangka memudah cara 4,000 pertemuan antara 450 pembeli antarabangsa, termasuk 50 pembeli premium, dengan kira-kira 600 pengeksport Malaysia.

Sementara itu, MIHAS Knowledge Hub menyediakan risikan perdagangan kepada pengeksport Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk membantu mereka meneroka pasaran global.

Pavilion Khas Untuk Usahawan Wanita

Untuk edisi kali ini, Women in Export (WiEX) turut diperluaskan daripada sebuah forum sebelum ini, WiEX kini tampil sebagai pavilion khas dengan 80 reruai membabitkan 60 pempamer Malaysia dan 20 pempamer antarabangsa.

Program itu turut menampilkan majlis anugerah khas untuk perniagaan diterajui wanita, selain sesi fireside chat bersama pengasas NOIR dan panel bersama pemimpin industri.

MIHAS Kitchen Pun Makin Besar

Bukan setakat peluang perniagaan, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai aktiviti sepanjang MIHAS 2026.

Antaranya persembahan pentas harian yang mengetengahkan trend fesyen santun serta demonstrasi masakan secara langsung di MIHAS Kitchen.

Yang menariknya, MIHAS Kitchen tahun ini diperluaskan kepada dua tingkat.

Sebanyak 32 cef terkenal akan mengadakan sesi masakan secara langsung sepanjang empat hari acara berlangsung.

Jumlah itu meningkat berbanding 15 cef pada tahun lalu.

Pengunjung boleh membuat pendaftaran menerusi laman web MIHAS 2026 di https://register.mihas.com.my/visitor/register.

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.