Tolong-menolong merupakan suatu kewajipan bagi setiap manusia, malah ianya adalah perbuatan yang mulia dan terpuji terutama sekali jika kita menolong orang yang amat memerlukan. Tidak terkira pahala yang kita dapat…
Hal yang sedemikian dapat dilihat pada seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan Projek Van 10 Sen bagi membantu menghantar pesakit tidak berkemampuan ke hospital dan klinik secara percuma di sekitar Kota Kinabalu.
Menurut Harian Metro, perkhidmatan yang telah dilancarkan sejak Disember tahun lalu ini telah mendapatkan sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan penduduk di Sepanggar, Tamparuli, Tuaran dan Beaufort.
Menurut pengasas perkhidmatan itu, Achmad Noorasyrul, 30, inisiatif tersebut telah dicetuskan bagi mengurangkan masalah yang dihadapi mereka dalam mendapatkan kenderaan untuk menjalani rawatan di hospital mahupun klinik.
Achmad yang juga merupakan lepasan graduan bidang pelancongan dari UiTM Sarawak itu turut menambah bahawa dia menyedari ramai penduduk tempatan di situ mengalami kesulitan dalam mendapatkan kenderaan ke hospital.
“Saya bukan berasal daripada golongan berada. Sejak kecil, saya bekerja dan kumpul duit untuk dapatkan sesuatu.”
Dia juga turut berkongsi kesusahannya sewaktu dia kecil dahulu yang membuatkannya tergerak hati untuk melaksanakan projek ini.
“Ketika saya masih kecil, saya mengalami kecederaan serius, namun disebabkan keluarga saya tidak memiliki kenderaan, saya tidak dihantar ke hospital. Bermula dari situ, saya berniat mahu mengubah nasib keluarga dan membantu masyarakat.”
Projek Van 10 Sen yang diasaskan Achmad ini merupakan satu platform di bawah Amal Prihatin Sabah Resources untuk membantu golongan yang miskin, yatim piatu, orang kurang upaya (OKU), warga emas, bapa atau ibu tunggal atau mana-mana pihak yang tidak memiliki kenderaan untuk pergi ke hospital. Projek ini juga beroperasi setiap hari tanpa mengira masa.
Menolong orang dalam kesusahan adalah kepuasan. Walaupun tidak mendapat imbuhan daripada mana-mana pihak, ianya cukup bermakna.”
Betul tu Achmad! Sikap sebeginilah harus dicontohi rakyat Malaysia di luar sana. Terima kasih Achmad. Hanya Tuhan sahaja yang dapat balas budi anda. Semoga anda sentiasa dimurahkan rezeki.
Baca: Lelaki Mualaf Sedia Khidmat Teksi Untuk Golongan Miskin Dengan Tambang 10 Sen