Kenali Riyanto, Lelaki Muslim Jadi Hero Kerana Sanggup Bergadai Nyawa Demi Selamatkan Gereja Kristian

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



Kewujudan penduduk berbilang agama dan bangsa di Malaysia tidak menghalang rakyat negara ini untuk terus hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang salah faham. Warga Malaysia sepatutnya bersyukur kerana tiada peristiwa yang meragut nyawa berlaku dek pertelingkahan agama seperti kisah yang berlaku di negara seberang ini.

Menurut Coconuts, dalam kejadian yang berlaku 16 tahun lalu, seorang lelaki beragama Islam dikenali sebagai Riyanto sanggup mengorbankan diri sendiri demi menyelamatkan sebuah gereja yang dipenuhi dengan masyarakat berlainan pegangan dan agama daripada dirinya. 

Sumber: Coconuts

Berikutan kejadian itu, Riyanto dilabel sebagai wira negara dan menjadi simbol sebenar kepercayaan Bhineka Tunggal Ika (Perpaduan dalam Kepelbagaian) di negara seberang itu.

Sumber: Coconuts

Keadaan huru-hara selepas kejatuhan pemerintahan Suharto. Manakala organisasi pengganas seperti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah pula begitu kuat merancang pengeboman gereja besar-besaran di seluruh Indonesia. Banser, sebuah organisasi pemuda Islam Nahdlatul Ulama (NU) mempunyai tradisi turun temurun untuk ahli-ahlinya mengawal gereja di seluruh Indonesia sebagai satu tanda muhibbah terhadap saudara-saudara beragama Kristian.

Salah satu daripada gereja yang akan dikawal adalah Gereja Eben Haezar yang terletak di Mojokerto, Jawa Timur. Riyanto yang berusia 25 tahun pada ketika itu adalah salah seorang daripada empat orang sukarelawan Banser yang ditugaskan untuk berkawal di Gereja Eben pada waktu malam.

Sumber: Coconuts

Beratus-ratus orang yang menyambut perayaan Krismas telah menghadiri upacara Christmas Eve yang diadakan di Gereja Eben pada waktu itu sebelum seorang pengunjung menyedari satu bungkusan mencurigakan berwarna hitam diletakkan berdekatan dengan kawasan hadapan gereja tersebut.

Riyanto kemudiannya keluar untuk memeriksa bungkusan tersebut dan mendapati kotak berkenaan dipenuhi wayar dan kabel. Sedar bahawa kotak di depannya mengandungi bom, Riyanto tidak lari untuk menyelamatkan diri sendiri seperti yang akan dilakukan kebanyakan orang.

Sebaliknya, lelaki tersebut menjerit menyuruh semua pengunjung gereja berlari dan beredar dari kawasan itu secepat mungkin sambil matanya liar mencari longkang atau kawasan untuk membuang bom itu sejauhnya.

Sumber: Coconuts

Belum sempat membuangnya, bom tersebut meletup di tangan Riyanto dan menyebabkan badannnya melayang 100 meter ke udara akibat kesan letupan tersebut. Riyanto meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian. 18 orang individu terbunuh pada malam itu di sembilan buah gereja lain di serata bandar Indonesia.

Jumlah tersebut mungkin lebih tinggi kalau bukan kerana sikap prihatin dan tindakan pantas yang diambil Riyanto. Oleh sebab pengorbanan berani yang dilakukannya, Riyanto diingati sehingga hari ini dan sebuah jalan telah dinamakan sempena namanya di Mojokerto sebagai tanda peringatan kepada lelaki berani itu.

Sumber: Coconuts

Riyanto membuktikan bahawa masih ada individu yang mementingkan nilai kemanusiaan dan tidak ragu-ragu untuk membantu masyarakat berlainan pegangan walaupun mempunyai agama yang berbeza. Individu seperti Riyanto wajar kita contohi kerana Islam tidak membataskan kita untuk membezakan perbuatan baik dan pertolongan hanya kepada orang Islam sahaja.

Baca: Ketepi Fahaman Agama, Sekumpulan Lelaki Berganding Bahu Bantu Baik Pulih Gereja di Sabah

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Asma' Razak

Suka dinosaur tetapi minat filem bergenre futuristik, bercita-cita mahu jadi vegetarian dan berharap ikan diklasifikasikan sebagai tumbuhan.