Kanak-Kanak Autistik Digelar ‘Pelukis Paling Teruk’ dan ‘Tiada Potensi’ Oleh Guru, Tapi Kini…

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



Jangan sesekali memandang rendah terhadap potensi dan bakat kanak-kanak. Mereka mungkin akan dikenali dengan bakat terpendam dan menjadi lebih hebat selepas bakat itu digilap.

Seperti seorang kanak-kanak lelaki ini yang mempunyai bakat besar dalam melukis meskipun menghidap autisme. Delwin Cheah Wien Loong pernah menerima surat pengiktirafan daripada Barack Obama dan Queen Elizabeth, mengadakan pamerannya sendiri dan malah karya seninya pernah dipaparkan sebagai latar belakang untuk rancangan televisyen popular di China. Wow!

Bersama Michelle Yeoh

Ketika berusia 5 tahun, Delwin disahkan menghidap Aspergers. Semenjak itu, Delwin tidak bercakap sehingga umurnya mencecah 8 tahun.

Bapanya, Lawrence Cheah menceritakan bagaimana anaknya dahulu menghabiskan berjam-jam dalam masa satu hari untuk melukis. Mahu menyelami ‘dunia’ anak mereka itu, Cheah dan isterinya menghantar Delwin ke kelas seni. Namun semua yang disangka indah ternyata hanya bayangan apabila Delwin tidak pernah diberikan peluang yang adil seperti kanak-kanak lain.

Selepas 30 minit kelas bermula, saya dan isteri terima panggilan daripada guru kelas itu meminta kami membawa Delwin pulang ke rumah kerana mereka tidak boleh mengawalnya,” kata Cheah.

Menurut Cheah, guru itu malah menggelar anaknya sebagai ‘pelukis paling teruk’ dan ‘dia tidak mempunyai potensi untuk menjadi pelukis’.

Kami sungguh kecewa. Sanggup dia berkata tentang seorang kanak-kanak begitu sekali. Kamu tidak pernah memberikan dia peluang yang adil pun.”

Delwin dan keluarga memakai t shirt yang dilukis olehnya (dengan kolaborasi bersama WWF)

Kecewa dengan apa yang berlaku, pasangan itu tidak menyerah demi menggilap bakat anak mereka dan membuat keputusan untuk cuba menghantar Delwin ke kelas seni yang lain.

Guru yang baru itu pula berjaya membuka mata saya tentang seni. Dia tunjuk bahawa seni itu bukan hanya garisan di atas kertas, ia adalah hasil kerja dan jiwa seseorang.”

Pelukis veteran, Teng Yin Teik beritahu kedua ibu bapa Delwin bahawa hasil seni anak mereka itu ‘mempunyai jiwa’.

Pada tahun 2013, banyak pencapaian yang berjaya diperolehinya – Delwin mengadakan pameran seni solonya yang pertama di Living Essenze di Pulau Pinang yang ditaja oleh pengasas Muzium One East, Ch’ng Huck Theng.

Delwin juga disenaraikan di dalam Malaysia Book of Records sebagai pelukis paling muda pernah mengadakan pameran seni visual solo dengan lebih 60 hasil seni ditayangkan pada bulan April. Dia juga telah diperakui oleh Record Setter yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebagai Artis Savant Termuda di Dunia untuk mengadakan pameran solo.

Pada tahun 2016 pula, lukisan Delwin digunakan sebagai latar belakang untuk Chef Nic, sebuah rancangan masakan dan pengembaraan popular di China. Rancangan itu dihoskan oleh selebriti terkenal, Nicholas Tse.

Bersama Nicholas Tse

Selain itu, Delwin juga mempunyai hubungan yang baik dengan pelakon filem Michelle Yeoh selepas bertemu di Ipoh pada tahun 2015. Michelle malah mempunyai salah satu hasil seni Delwin sebagai koleksi.

“Saya percaya bahawa peluang itu datang daripada Michelle Yeoh yang dijemput sebagai tetamu jemputan rancangan itu.”

“Banyak yang mereka berdua bualkan, kedua-dua mereka sukakan haiwan,” kata Cheah sambil ketawa.

Michelle juga sering menghantar gambar binatang buas yang dijumpainya ketika melancong ke Kenya.

“Delwin ada melukis gambar Michelle ketika melawat zirafah dan apabila saya menghantar gambar itu kepada Michelle – mungkin mereka mencari idea untuk rancangan itu – Michelle pasti ingat tentang hasil seni Delwin dan mencadangkannya kepada krew produksi.”

Menurut Cheah, pada mulanya mereka sekeluarga tidak pernah menyangka banyak perkara yang akan berlaku. Cheah dan isteri tidak terfikir bahawa seni itu mampu memberi satu perbezaan yang sebegitu besar.

“Kami sangat risaukan tentangnya dahulu, mengapa dia tidak boleh bercakap tetapi boleh bernyanyi lagu Bee Gees dengan menghafal liriknya 95%. Jadi ianya agak pelik bagi kami bagaimana dia boleh mengingati lagu itu tetapi tidak tahu untuk memanggil mummy dan daddy.” katanya.

Masa berlalu, Cheah dan isteri mula melihat perbezaan dan menyedari betapa berbakatnya anak mereka meskipun menghidap autisme.

Saya rasa, kisah Delwin ini pasti memberi impak kepada masyarakat kerana selalunya orang berfikir bahawa kanak-kanak sebegini tidak berguna. Dari Obama ke Queen Elizabeth, perjalanan hidupnya pasti memberi inspirasi,” kata Cheah.

Bagi perancangan masa hadapan, Cheah percaya hasil kerja anaknya itu bukan hanya sebagai hiasan digantung di dinding. Pasangan itu mempunyai rancangan lebih besar kerana Delwin juga belajar sendiri bagaimana untuk menghasilkan arca.

Jangan kita sangka kanak-kanak sebegini tiada gunanya. Setiap manusia diciptakan dengan keistimewaan masing-masing. Seperti Delwin, meskipun seorang kanak-kanak autistik, dia ternyata mempunyai bakat besar dalam melukis.

Kepada guru yang berkata Delwin tidak mempunyai potensi itu, harap-harap dia sedar tentang pencapaian Delwin sekarang!

 

 

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Sue Idris

Seorang ibu. Siapa cakap anak aku tak comel siap eh!