Musim perayaan Deepavali sememangnya sinonim dengan pelbagai perkara, termasuklah memasang pelita, bermain bunga api dan menghasilkan hiasan Ranggoli di serata tempat.
Untuk yang tidak tahu, Ranggoli merupakan perhiasan yang dihasilkan menggunakan bijirin atau beras yang sudah diwarnakan. Ia bukan sekadar dekorasi, malah ia memiliki maksud sosial, kerohanian dan simbolik yang terkandung padanya.
Namun, ada juga anasir yang cuba merosakkan Ranggoli yang telah terletak cantik di sebuah terminal bas baru-baru ini. Siapalah agaknya yang buat hal ni?
Pelaku kepada kejadian tersebut merupakan seekor kucing bertompok yang meniti di atas hiasan perayaan itu dengan selamba. Amboi… macam tak ada buat salah apa je, kan?
Kejadian yang dirakam oleh pengguna Tiktok @gieha7 itu dikatakan berlaku di sebuah terminal bas di negeri Johor. Kucing tersebut bukan sahaja tidak berganjak, malah terus menguis dekorasi yang sudah terjejas itu. Alamak, itu bukan pasir dik oi..
Klip tersebut tular di laman Tiktok dengan jumlah melebihi 300 ribu tontonan dan lebih 30 ribu like. Di ruangan komen rata-rata netizen berseloroh mengatakan penghadang yang diletak berjaya menghalang manusia, namun ada makhluk lain yang mampu membuat kacau.
Ha… ingatkan King Oyen je yang selalu bikin panas. Nampak gayanya dah ada yang berani nak caras takhta Oyen ni.
Baca: Karma Buat Oyen, Kaki Tersepit Di Celah Kerusi Lepas Cuba Curi Makanan Lelaki Sedang Tidur