Penat lelah berjaga malam menyiapkan tugasan dan menanggung beban hutang pengajian demi segulung ijazah kini bukan lagi tiket mudah untuk anak muda mendapatkan kerjaya idaman mahupun gaji yang setimpal.
Hakikat itu terus menjadi mimpi ngeri buat ribuan graduan baharu di Malaysia apabila ada yang sudah menghantar ratusan permohonan kerja tanpa sebarang panggilan temu duga, manakala sebahagian lagi terpaksa ‘pejam mata’ mengambil kerja di luar bidang semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Melihat kepada laporan rasmi Statistik Siswazah 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah keseluruhan siswazah di negara ini telah mencecah 5.98 juta orang, merangkumi 3.28 juta pemegang ijazah dan 2.70 juta pemegang diploma.
Kadar Pengangguran Turun, Namun Hakikat Sebenar Masih Tersembunyi
Berdasarkan laporan itu, kadar pengangguran siswazah dilihat menyusut sedikit daripada 3.4 peratus pada tahun 2023 kepada 3.2 peratus pada 2024. Namun di sebalik peratusan itu, seramai 165,900 siswazah masih menganggur dan 91,500 orang daripadanya merupakan pemegang ijazah sarjana muda dan ke atas.
Lebih membimbangkan, golongan muda berusia 24 tahun ke bawah mencatatkan kadar pengangguran paling kritikal iaitu 16.7 peratus, malah melonjak kepada 20.5 peratus khusus bagi pemegang ijazah dalam kumpulan umur tersebut.

Mengulas angka-angka tersebut, Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School,Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu selesa dengan penurunan kadar pengangguran itu kerana ia hanya mengukur status ‘bekerja’, bukannya kualiti pekerjaan mahupun masa depan graduan.
“Angka pengangguran menurun, tetapi cabaran sebenar semakin tersembunyi. Kadar 3.2 peratus ini adalah kadar pengangguran, bukan kadar kebolehpasaran yang berkualiti. Ramai graduan yang dikira ‘bekerja’ sebenarnya bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, kerja yang tidak perlukan ijazah.”
Dapatan itu selari dengan pendedahan DOSM yang merekodkan seramai 1.60 juta siswazah, atau bersamaan 32.2 peratus daripada keseluruhan siswazah bekerja, terpaksa mengisi jawatan separuh mahir dan berkemahiran rendah.
Keadaan ini jauh lebih parah bagi pekerja siswazah berusia 24 tahun ke bawah apabila 66.0 peratus daripada mereka dilaporkan melakukan kerja yang langsung tidak memerlukan kelayakan diploma atau ijazah seperti jurujual, kru perkhidmatan dan kerani sokongan.
“Graduan ijazah kejuruteraan kerja sebagai penghantar makanan. Graduan ijazah perakaunan kerja sebagai kerani jualan. Mereka dikira ‘bekerja’ dalam statistik, tetapi bakat mereka dibazirkan.”
Jurang Teknologi & Ancaman ‘The AI Tipping Point’
Selain isu ketidakpadanan kelayakan, Aimi Zulhazmi turut menyarankan agar penyelarasan antara ekosistem pengajian tinggi dan keperluan industri terus diperkukuh memandangkan perubahan pasaran kini menuntut kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data, kejuruteraan semikonduktor, tenaga boleh baharu dan keselamatan siber berbanding bidang tradisional yang semakin kompetitif.

“Institusi pendidikan kita sudah berjaya melahirkan ramai pemegang ijazah yang berilmu, namun langkah seterusnya adalah memperkasakan lagi aspek kebolehpasaran mereka.
“Memandangkan teknologi kini berubah hampir setiap enam bulan berbanding kitaran semakan kurikulum sekitar tiga hingga lima tahun, kerjasama erat dengan industri amat penting supaya pendedahan teknologi yang diterima pelajar sentiasa selari dengan keperluan semasa.”
Berdasarkan laporan DOSM, pasaran buruh negara kini sedang berdepan fasa The AI Tipping Point, apabila automasi pintar dan aplikasi AI generatif mula mengambil alih tugas seperti perkeranian yang selama ini menjadi pintu masuk utama graduan baharu.
Merujuk unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sehingga 60 peratus pekerjaan di negara maju berpotensi terkesan oleh kemunculan AI, sekali gus menuntut graduan Malaysia menguasai kemahiran digital serta pemikiran kritikal supaya tidak ‘terganti’ sebelum sempat membina kerjaya.

Menurut beliau lagi, pendedahan praktikal perlu diperluas supaya graduan bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademik dan CGPA, malah turut memiliki pengalaman industri yang mencukupi sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Sistem kita perlu bergerak ke arah pendekatan skills-driven. Ijazah masih penting, tetapi kemahiran yang boleh dibuktikan lebih penting. Dalam ekonomi gig dan AI, graduan yang hanya tahu tunggu arahan akan cepat digantikan.”
Krisis Gaji Permulaan & Kerja Tidak Stabil
Tekanan kewangan turut menghimpit anak muda apabila wujud jurang ketara antara jangkaan gaji permulaan graduan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 berbanding tawaran majikan yang masih tersekat pada paras RM1,800 hingga RM2,200.
Perkara ini dibuktikan menerusi data gaji DOSM 2024 yang mendedahkan penengah gaji bulanan bagi siswazah berusia 24 tahun ke bawah hanyalah RM2,031 sebulan dengan purata RM2,456, manakala siswazah dalam sektor separuh mahir dan berkemahiran rendah masing-masing sekadar menerima penengah gaji RM2,550 dan RM1,990.

“Ramai graduan bekerja, tetapi gaji permulaan mereka tidak naik sejak 10 tahun lepas, sedangkan kos sara hidup naik mendadak. Graduan bekerja, tetapi tidak boleh beli rumah, tidak boleh simpan, tidak boleh bina keluarga. Ini adalah krisis gaji, bukan krisis pengangguran.”
Beliau menambah, keadaan itu memaksa ramai memilih kerja kontrak atau ekonomi gig yang tiada caruman KWSP mahupun jaminan sosial, sekali gus menjadikan mereka golongan pertama yang terjejas apabila ekonomi perlahan.
Jurang Bandar & Luar Bandar Paksa Anak Muda Berhijrah
Pada masa yang sama, ketidaksamarataan pembangunan antara wilayah terus memaksa anak muda meninggalkan kampung halaman demi mencari rezeki.
Statistik DOSM menunjukkan kadar pengangguran siswazah di luar bandar mencecah 7.1 peratus berbanding hanya 2.8 peratus di bandar, dengan Sabah merekodkan pengangguran siswazah tertinggi di Malaysia (7.1 peratus) manakala Kelantan mencatatkan kadar ketidakpadanan kemahiran paling tinggi iaitu 48.9 peratus.

Mengulas jurang 4.3 mata peratusan antara bandar dan luar bandar itu, Prof. Madya Dr. Aimi berkata tumpuan pelaburan dan industri bernilai tinggi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru menyekat peluang di negeri lain, manakala kos sewa di kota dan kekangan capaian internet berkelajuan tinggi di luar bandar menyukarkan graduan untuk bersaing atau bekerja secara jarak jauh.
“Selagi kita tidak desentralisasikan ekonomi dengan bawa pelaburan ke luar bandar, bina hab digital di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur, jurang ini akan kekal. Jangan terlalu gembira dengan 3.2 peratus. Selagi jumlah graduan kerja sepadan dengan ijazah, gaji median mereka, dan jaminan pekerjaan stabil tidak bertambah baik, isu kebolehpasaran graduan belum selesai.”
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Statistik Siswazah 2024 & Ulasan Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
