Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023) akan mengadakan mesyuarat bersama pihak berkaitan pada hari esok untuk memuktamadkan status misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif memberitahu, perbincangan itu akan diadakan di Kathmandu, Nepal bersama pihak berkuasa tempatan serta Kedutaan Malaysia di sana.

“Kami akan mendapatkan pandangan sama ada SAR itu akan ditamatkan atau disambung dengan kaedah dan alternatif lain.”
“Pada pertemuan esok, kami akan membentangkan laporan penuh insiden dan misi SAR yang dijalankan sejak 20 hari lalu,” katanya.
Menurutnya, SAR dengan menggunakan dron berteknologi tinggi sejak lima hari lalu serta carian melalui jalan darat sejak 19 Mei lalu telah gagal menjejaki dan mengesan Hawari sebelum operasi ditamatkan petang kelmarin.
Azim menambah, operasi SAR lebih kerap dilakukan melalui jalan darat menggunakan kepakaran tenaga malim gunung berbanding SAR udara menggunakan helikopter yang menelan kos lebih tinggi.

“Pada kesempatan ini, kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa Nepal kerana telah memberi pelepasan ihsan untuk menyambung operasi SAR selama lima hari yang berakhir hari ini,” jelasnya.
Semalam ME2023 bertindak memutuskan untuk menamatkan operasi SAR menggunakan dron berkuasa tinggi sehari lebih awal selepas alat itu disahkan mengalami masalah.
Terdahulu, Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas dia meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Sumber : Kosmo!
Baca : “Mana daddy?” – Anak Hawari Mula Bertanya, Luah Rasa Rindu Melalui Lukisan

