Tular pada minggu lalu mengenai program ‘Speed Dating’ yang dijalankan di sebuah kafe yang terletak di Kuala Lumpur. Sejak ianya tular di pelbagai platform media sosial, ramai netizen teruja dan beranggapan cara tersebut sebagai ikhtiar ‘terakhir’ untuk mencari jodoh.
Pun begitu, program ‘Speed Dating’ ini telah menarik perhatian Mufti Pulau Pinang yang menyatakan penganjuran program sebegitu tidak digalakkan dalam Islam.
Islam tak merestui ‘Speed Dating’?
Menerusi laporan Harian Metro, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor memaklumkan bahawa agama Islam tidak merestui perbuatan atau penganjuran program ‘Speed Dating’ antara teruna dan dara.
Artikel berkaitan: “Dah macam fan meeting!” – ‘Event’ Cari Jodoh Raih Perhatian Netizen
Artikel berkaitan: Jarak 23 Tahun Bukan Penghalang, Wanita 50 Tahun Jumpa Jodoh Umur 27 Tahun Di TikTok
Beliau turut menasihati agar umat Islam sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama baik keluarga dan mencari jodoh mengikut hukum agama dan adat resam bangsa.
Peliharalah kehormatan diri dan nama baik keluarga anda. Jangan mudah percaya atau terpengaruh dengan pujuk rayu ‘kumbang’ yang hanya ingin ‘menghisap madu’ kemudian akan terbang entah ke mana, meninggalkan bunga terkulai layu.
Selain menasihati kaum wanita, beliau juga meminta agar para pemuda lebih berterus terang dan berjumpa dengan keluarga si gadis apabila sudah bersedia untuk ke alam perkahwinan.
Pemuda juga dinasihati supaya tidak menjadikan anak gadis yang naif sebagai mangsa nafsu serakah, namun jika berkenan di hati silalah masuk meminang dan berjumpa ibu bapa si gadis dengan cara bersopan sesuai dengan hukum agama dan adat resam bangsa.
Lebih banyak keburukan berbanding kebaikan
Selain itu, Wan Salim berkata kaedah pencarian jodoh dengan cara sebegitu lebih banyak mendatangkan kesan buruk berbanding manfaat.
Pemuda yang sering melakukan janji temu sebegini akan mendapati bahawa tujuan sebenarnya bukan mahu mendirikan rumah tangga secara sah dengan gadis yang digoda, tetapi hanya mahu berhibur dan berseronok semata-mata.
Lebih parah ada yang ingin mempengaruhi si gadis kenalannya ke arah perlakuan maksiat dan jika gadis berkenaan hamil, pemuda itu menafikan kehamilan adalah disebabkan oleh perbuatannya.
Sekadar info, program ‘Speed Dating’ ini mula popular di negara Barat yang mana peserta lelaki dan wanita diberi peluang untuk duduk berbual dan berkenalan antara satu sama lain dalam tempoh masa tertentu. Difahamkan, kaedah itu mula dianjurkan di Malaysia sejak 10 tahun yang lalu namun ia kembali popular sejak kebelakangan ini.
Sumber: Harian Metro