Ibu bapa mana yang tak bersedih apabila anak yang dikasihi meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Lebih menyedihkan apabila ada pihak yang tak bertanggungjawab telah merosakkan tempat persemadian anak itu. Memang kurang ajar sungguh siapa yang buat tu!
Lapor portal Metro UK, Sarah Bernasconi-Parsons dan pasangannya Mark masih lagi berkabung akibat pemergian anak mereka yang meninggal dunia ketika dilahirkan. Pun begitu, pasangan terbabit dikejutkan pula dengan berita bahawa kubur anak perempuan mereka, Maggie rosak akibat menjadi mangsa vandalisme individu tak bertanggungjawab.
Berita mengenai kerosakan kubur Maggie itu dimaklumkan kepada pasangan terbabit oleh seorang rakan bernama Mark Plaister. Plot twist: si Mark ni rupanya orang yang rosakkan kubur Maggie!
Selalu jadi orang pertama yang ‘report’ kerosakan pada kubur Maggie
Difahamkan, hanya dalam masa sebulan daripada insiden pertama, kubur Maggie dirosakkan sebanyak lima kali. Kejadian itu disifatkan sangat traumatik oleh Sarah, 39, dan Mark, 42. Pun begitu, mereka langsung tak menyangka orang yang dianggap rakan mereka itu adalah dalang disebalik perbuatan vandalisme berkenaan.
“Dia (Mark) tengok saja saya semasa saya menangis lepas melihat kubur anak saya dirosakkan. Malah, suami saya juga berjabat tangan dengannya dan mengucapkan terima kasih kerana segera melaporkan hal itu kepada kami. Kami benar-benar sangka dia mahu membantu,” kata Sarah.
Bagaimanapun, pasangan itu mulai sangsi dengan tindak-tanduk Mark selepas lelaki itu mula menyoal Sarah dengan pelbagai soalan selepas menyedari pihak berkuasa tempatan sering memantau kawasan terbabit.
“Kami laporkan isu itu kepada polis dan mereka hantar sebuah van dilengkapi kamera untuk merakam tindakan mencurigakan. Dia (Mark) banyak tanya soalan mengenai kehadiran polis sampai suami saya mula syak ada yang tak kena,” kata Sarah lagi.
Tambah Sarah, dia dan suaminya pernah bergaduh kerana wanita itu tidak mahu percaya akan tuduhan suaminya bahawa Mark adalah dalang vandalisme kubur Maggie. Sarah mendedahkan Mark juga pernah kehilangan anaknya, jadi tidak mungkin lelaki itu sanggup melakukan perkara terbabit kepada rakan mereka sendiri yang sedang berkabung.
Letak kamera rahsia disebalik bunga
Dek kerana mahu mencari kebenaran, Sarah dan suaminya memilih untuk memasang sendiri kamera rahsia yang disorok disebalik bunga. Alangkah terkejutnya pasangan itu selepas melihat sendiri Mark datang ke kubur Maggie dan mula merosakkannya.
“Kami terus pergi ke kubur itu dan nampak Mark sedang memusnahkannya. Saya menjerit dan suami saya tahan dia sehingga polis tiba. Dia mengaku melakukan semua kerosakan yang dilaporkan sebelum ini.”
Apabila disoal mengenai motif kejadian, Mark dengan selamba membalas,
“Aku cuma buat enam kali je.”
Untuk info Maggie Parsons dilahirkan dalam keadaan sudah meninggal dunia pada bulan Jun 2015 susulan Sarah menghidap sepsis ketika mengandungkannya. Abu anak pasangan itu dikebumikan di Pleasington Cemetery, Lancashire.
Menurut pendakwa raya Carl Gaffney pula, dia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan Mark terhadap keluarga terbabit dan menyifatkannya sebagai perbuatan paling keji pernah dilihatnay sepanjang 30 tahun bekerja.
Sumber: Metro UK