Malaysia dijangka akan menerima kira-kira 16 juta dos vaksin COVID-19 dalam tempoh masa dua bulan akan datang.
Memetik laporan Astro Awani, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam satu ucapan khas berhubung perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu, penambahan bekalan vaksin ini akan menyebabkan sasaran kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 dan dijangka jumlah itu akan terus meningkat.
“Untuk tempoh dua bulan akan datang, kita akan menerima sekitar 16 juta dos vaksin COVID-19. Dengan pertambahan bekalan vaksin ini, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka ini akan terus meningkat,” katanya.
Dalam ucapan sama juga, Perdana Menteri ada mengucapkan teruma kasih dan syabas buat petugas barisan hadapan termasuk sukarelawan yang bekerja keras bagi memastikan program vaksinasi ini berjaya dilaksanakan.
“Daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemvaksin ataupun ‘vaccinators’, doktor, jururawat, sehinggalah anggota PDRM, ATM, RELA, APM dan para sukarelawan, syabas dan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras saudara-saudari bagi memastikan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara kita ini berjaya dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus komited dan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar dan teratur bagi mencapai objektif utama iaitu imuniti kelompok.
Sumber: Astro Awani