Seperti yang semua sedia maklum, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebelum ini telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan bagi penggal 3 tahun 2021/2022 bakal bermula pada 2 Januari 2022 dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan A dan B.
Walau bagaimanapun, akibat situasi banjir yang melanda negara pada ketika ini, KPM telah mengambil inisiatif untuk menangguhkan sesi pembukaan sekolah selama seminggu.
Menerusi satu video yang dikongsikan Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin di Twitter, sekolah akan kembali dibuka pada 9 dan 10 Januari 2022 bagi memberi laluan buat para guru, ibu bapa dan pelajar pulih dari situasi banjir.
Saya kongsikan penjelasan mengenai ketetapan terkini KPM berhubung pembukaan sekolah bagi penggal 3 Tahun 2021/2022.#KPMPrihatin pic.twitter.com/yUkSURzDId
— Radzi Jidin (@RadziJidin) December 24, 2021
“KPM amat cakna dengan kebajikan guru, murid dan ibu bapa dalam konteks situasi banjir semasa.
“Kita sedar ini adalah tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan kita fahami bahawa mereka memerlukan masa bagi kembali menyiapkan keperluan sebelum mereka dapat memulakan sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022. Kita doakan yang terbaik bagi mangsa-mangsa banjir di seluruh negara,” katanya.
Menurut Radzi lagi, kenyataan rasmi berkenaan hal tersebut akan dikeluarkan sekejap saja lagi.