Kalau bab pemakaian pelitup muka ini janganlah korang abaikan sebab selain daripada nak mengelakkan diri daripada dijangkiti wabak COVID 19, korang juga akan dikenakan kompaun RM1,000 kalau melanggari SOP yang telah ditetapkan kerajaan. Haa tak memasal melayang RM1,000 macam tu je kan?
Inilah yang berlaku kepada penyanyi otai kita, Joey BPR apabila dia mendedahkan di Facebook yang dia telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak memakai pelitup muka.
Namun selepas memuat naik posting terbabit, tidak pula Joey menyangka ada insan baik hati yang menghantar mesej di aplikasi WhatsApp menyatakan hasrat untuk membantunya membayar denda tersebut.
Menurut Joey atau nama sebenarnya, Johari Mat Rozekhi, 57, dia terkejut apabila mendapat mesej tersebut yang mahu memberi sumbangan bagi membayar kompaun berkenaan, lapor mStar.
“Individu itu terbaca tentang perkongsian saya dan terus mesej nak hulurkan sumbangan RM1,000. Saya pun terkejut tak sangka ada yang nak bantu… sejujurnya saya tak kenal siapa lelaki itu, peminat atau wakil mana-mana pertubuhan pun saya tak pasti.
“Apabila dia kata nak bantu bayar, saya okey sahaja dan bagi nombor akaun bank… mula-mulanya saya janji nak bayar balik apabila dah ada duit, tapi dia menolak. Katanya ikhlas nak bantu. Alhamdulillah, duit itu pun sudah diterima!” katanya.
Tambah Joey lagi, dia sudah memuat naik perbualan WhatsApp tersebut sebelum ini tetapi terpaksa delete semula kerana memaparkan nama insan tersebut yang tidak mahu dikenali ramai.
Dalam pada itu, Joey juga berkata ada hikmahnya dia dikompaun kerana dari sini dia dapat melihat wujudnya insan pemurah dan tak lokek membantu.
“Saya tak kisah kena kompaun kerana sedar undang-undang itu untuk kebaikan kita semua. Tapi di sebalik apa yang terjadi saya nampak masih wujud insan berhati mulia dan pemurah.
“Mereka tahu kita susah, jadi mereka bantu. Ternyata di dunia yang penuh kerakusan ini masih ada mereka yang mengasihani.
“Apa yang saya kongsi ini bukan gimik atau rekaan… tetapi memang benar! Kalau kita buat baik, insyaAllah kita pun akan terima kebaikan daripada orang lain,” katanya.
Syukurlah masih ada yang ingin membantu. Apa-apapun janganlah kita alpa dan ikut SOP semuanya ye.
Baca: 6 Student Didenda RM1,000 Sebab Tak Scan MySejahtera Di Kedai Makan